PETALING JAYA: UMW Holdings Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, UMW It Services Sdn. Bhd. secara rasmi melancarkan pengkomputeran awan (cloud) hibrid bersama TM One.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata, pelancaran berkenaan membuktikan kemajuan UMW dalam bidang transformasi digital melalui penggabungan dan penambahbaikan seni bina pusat data semasanya.
Katanya, selain itu, ia juga melengkapkan proses pemodenan pelbagai aplikasi dan menyokong usaha Kumpulan untuk menambah baik operasinya di seluruh unit perniagaan strategiknya.
“Transformasi digital adalah penting bagi perniagaan di Malaysia untuk kekal kukuh dan berdaya saing, terutamanya dalam bidang pembuatan seperti UMW dan ia juga penting untuk pertumbuhan negara.
“Inisiatif Cloud hibrid juga penting terhadap usaha transformasi digital Kumpulan UMW, kerana ia merupakan asas yang kukuh untuk memajukan keupayaan IT dan digital UMW dan ia selaras dengan aspirasi rangka kerja strategik CREST@2021 kami,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Ahmad Fuaad lagi, cloud hibrid membolehkan Kumpulan UMW memanfaatkan perkhidmatan inovatif TM One, untuk mengoptimumkan kecekapan dalam pengurusan data, meningkatkan keselamatan, kebolehpercayaan, kebolehskalaan serta menawarkan pengurusan kos yang lebih baik.
“Cloud hibrid juga menawarkan fleksibiliti, kebolehpercayaan, kepantasan dan keselamatan data yang lebih baik kepada Kumpulan UMW untuk menyokong pertumbuhan perniagaan kami,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, Kumpulan UMW akan terus memanfaatkan kepakaran digital TM One dalam inisiatif IR 4.0, termasuk OEE Smart Manufacturing and Intra-Logistics Smart Inventory, yang akan meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan kos dan meningkatkan keselamatan pekerja.
Jelasnya, kumpulan berkenaan juga sedang bekerjasama dengan TM One dalampenyambungan gentian dan rangkaian 5G di UMW High Value Manufacturing Park di Serendah, selaras dengan keperluan semasa dan masa hadapan untuk penyambungan berkelajuan tinggi bagi menampung automasi dan analisis Big Data dalam operasi.
“Dengan ini, UMW percaya bahawa terdapat potensi besar untuk teknologi seperti pembuatan pintar, perkara berkaitan internet dan lain-lain untuk dibangunkan dan digunakan ke dalam perkhidmatan inovatif baharu dan mampan dalam mobiliti serta pusat pembuatan.
“Oleh itu, Kumpulan UMW akan terus meneroka peluang yang relevan di mana ia boleh bekerjasama dengan TM One,” katanya. – UTUSAN









