SEKTOR perkhidmatan dijangka berkembang sebanyak 5.3 peratus pada 2023 dipacu oleh permintaan domestik walaupun aktiviti global menyederhana.
Pertumbuhan itu terus didorong oleh subsektor perdagangan borong dan runcit; pengangkutan dan penyimpanan; maklumat dan komunikasi; makanan, minuman dan penginapan serta kewangan dan insurans.
Menurut Tinjauan Ekonomi dan Fiskal dan Anggaran Hasil 2023 Terkini, subsektor perdagangan borong dan runcit dijangka berkembang dan kekal sebagai subsektor utama berikutan penggunaan e-dagang yang lebih meluas dan peralihan pantas kepada digitalisasi.
Katanya, peningkatan transaksi dalam talian adalah selaras dengan matlamat mewujudkan ekosistem masyarakat tanpa tunai.
“Segmen kenderaan bermotor juga dijangka menyokong pertumbuhan subsektor dengan pengenalan model baharu kenderaan elektrik (EV).
“Subsektor hartanah dan perkhidmatan perniagaan dijangka berkembang diterajui oleh segmen perkhidmatan perniagaan berikutan permintaan lebih tinggi untuk perkhidmatan profesional khususnya kejuruteraan, guaman dan perakaunan.
“Sementara itu, segmen hartanah diunjur meningkat disokong oleh permintaan pasaran perumahan dan aktiviti penyewaan yang lebih kukuh,” katanya.
Laporan turut menyatakan, subsektor maklumat dan komunikasi dijangka terus berkembang terutamanya dipacu oleh penerimagunaan digital yang lebih meluas oleh perniagaan dan individu khususnya penggunaan Fixed Wireless Access dan teknologi lain yang bersesuaian.
“Di samping itu, usaha menarik pelaburan berkualiti tinggi dalam infrastruktur berkaitan digital seperti pusat data dan perkhidmatan pengkomputeran awan serta peningkatan berterusan aktiviti penstriman dalam talian akan melonjakkan lagi prestasi subsektor ini.
“Subsektor pengangkutan dan penyimpanan diunjur berkembang dengan kebanyakan segmen disokong oleh pengembangan dalam aktiviti rel, lebuh raya, pelabuhan dan lapangan terbang.
“Segmen pengangkutan darat dijangka meningkat berikutan pengoperasian Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya, Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam dan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang.
“Selain itu, segmen pengangkutan udara dijangka berkembang seiring dengan pertambahan trafik penumpang dan pergerakan pesawat susulan aktiviti berkaitan pelancongan yang terus bertambah baik dan peningkatan kekerapan penerbangan manakala segmen pengangkutan air diunjur menyederhana berikutan aktiviti perdagangan yang lebih perlahan,” ujarnya.
Subsektor makanan & minuman dan penginapan dijangka meneruskan momentum pertumbuhan sejajar dengan pelaksanaan berterusan bagi inisiatif di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan 2022.
Subsektor kewangan dan insurans pula dijangka meningkat susulan aktiviti ekonomi yang bertambah baik manakala subsektor utiliti juga dijangka terus bertambah baik didorong oleh permintaan stabil dalam segmen elektrik dan gas seiring dengan aktiviti ekonomi yang berterusan.
Subsektor perkhidmatan lain dijangka berkembang disokong oleh segmen kesihatan dan pendidikan swasta. Usaha meluas Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) dalam forum antarabangsa untuk mempromosikan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti, boleh diakses dan berpatutan serta pembukaan semula sempadan akan melonjakkan prestasi segmen kesihatan swasta.
Dalam hal ini, MHTC menganggarkan hasil pelancongan penjagaan kesihatan meningkat sebanyak 30 peratus kepada lebih daripada RM1.5 bilion pada 2023.
Segmen pendidikan swasta juga dijangka kekal memberangsanakan seiaiar dengan bilangan pelajar asing yang menggalakkan berikutan yuran pendidikan yang kompetitif ditawarkan oleh institusi pendidikan swasta dan subsektor perkhidmatan kerajaan dijangka terus berkembang pada 2023. – UTUSAN










