Peruntukan Belanjawan 2023 RM388.1 bilion

[TINJAUAN EKONOMI] Peruntukan Belanjawan 2023 RM388.1 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERAJAAN Persekutuan mem­­­peruntukkan sebanyak RM388.1 bilion untuk perbelanjaan pada 2023, kurang sebanyak 2.3 peratus terutamanya disebabkan oleh penamatan Kumpulan Wang Covid-19 (KWC-19) pada 31 Disember 2022.

Menurut Tinjauan Ekonomi dan Fiskal dan Anggaran Hasil 2023 Terkini, daripada jumlah tersebut, 74.9 peratus akan diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus (OE) manakala 25.1 peratus untuk perbelanjaan pembangunan (DE).

Dari segi peruntukan mengikut sektor, 35.2 peratus daripada jumlah perbelanjaan diperuntukkan kepada sektor sosial diikuti oleh sektor ekonomi (19.1 peratus), keselamatan (9.7 peratus) dan pentadbiran am (5.1 peratus).

Sementara itu, baki sebanyak 30.9 peratus diperuntukkan untuk perbelanjaan tanggungan dan bayaran pindahan.

Peruntukan OE dianggar ber­kurang sebanyak 1.2 peratus kepada RM289.1 bilion atau 15.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Ini terutamanya disebabkan oleh peruntukan subsidi lebih rendah sejajar dengan jangkaan harga komoditi yang menyederhana dan pelaksanaan secara berperingkat mekanisme subsidi bersasar.

“Walau bagaimanapun, peruntukan emolumen, bayaran persaraan, bayaran khidmat hutang (DSC) dan pemberian kepada badan berkanun dijangka kekal tinggi.

“Emolumen dianggarkan me­ningkat 3.4 peratus kepada RM90.8 bilion dan kekal sebagai komponen terbesar OE iaitu 31.4 peratus,” kata laporan itu.

Peningkatan itu disebabkan oleh kenaikan gaji tahunan khas sebanyak RM100 di sam­ping kenaikan gaji tahunan serta penye­rapan pegawai kontrak ke jawatan tetap, terutamanya dalam sektor kesihatan dan pendidikan.

Bayaran persaraan diunjur kekal stabil pada RM31.1 bilion yang merangkumi 10.7 peratus daripada jumlah OE.

Daripada jumlah tersebut, RM23.9 bilion atau 76.9 peratus merupakan bayaran pencen manakala bakinya adalah bayaran gratuiti dan gantian cuti rehat terkumpul.

Memandangkan Malaysia ki­ni merupakan negara menua berdasarkan definisi oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, liabiliti pencen dijangka terus meningkat.

Sementara itu, DSC dianggarkan berkembang sebanyak 11.7 peratus kepada RM46.1 bilion atau 2.4 peratus daripada KDNK berikutan pinjaman terkumpul yang semakin meningkat terutamanya dalam tempoh pandemik.

Perkhidmatan dan be­kalan yang merangkumi 11.1 peratus daripada OE dijangka menyusut sebanyak 7.7 pe­ratus kepada RM32 bilion.

Dalam pada itu, peruntukan subsidi dan bantuan sosial dijangka berkurang sebanyak 12.9 peratus kepada RM58.6 bi­lion berikutan jangkaan harga minyak mentah global lebih rendah serta sejajar dengan pelaksanaan secara berperingkat mekanisme subsidi bersasar.

Selain itu, kerajaan akan terus menyediakan bantuan tunai bagi meringankan beban kewangan golongan berpendapatan rendah.

Peruntukan geran kepada badan berkanun dijangka me­ningkat sebanyak 7.9 peratus kepada RM15.1 bilion, yang mana sebahagian besar diperuntukkan bagi membiayai perbelanjaan operasi 20 universiti awam dan sembilan hospital pengajar.

Sementara itu, sejumlah RM8.1 bilion diperuntukkan kepada kerajaan negeri dalam bentuk geran dan pindahan yang merangkumi pemberian seba­nyak RM6.1 bilion seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tahun 2023 merupakan tempoh separuh penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang mana kemajuan projek dan program dijangka semakin rancak.

Sejumlah RM99 bilion diperuntukkan di bawah DE bagi melaksanakan projek pembangunan berkualiti yang memberi penekanan kepada pelaburan berimpak tinggi untuk merangsang pertumbuhan ekonomi.

“Kerajaan juga komited untuk memenuhi obligasi kewangan termasuk penebusan bon 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai AS$3 billion yang akan matang pada Mac 2023 serta komitmen kewangan berkaitan kerjasama awam swasta (PPP)/inisiatif pembiayaan swasta (PFI) yang lain.

“Dari sudut peruntukan sektoral, sektor ekonomi kekal sebagai penerima terbesar iaitu sebanyak 56.7 peratus atau RM55 bilion,” jelasnya.

Sementara itu, sebanyak RM3.9 bilion akan diperuntukkan bagi sektor pentadbiran am terutamanya untuk menambah baik sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta membaik pulih, menaik taraf kelengkapan bangunan dan fasiliti kerajaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN