KERAJAAN akan menggalakan kerjasama di antara konglomerat dengan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) bagi memperkukuh keseluruhan ekosistem ekonomi selari dengan matlamat menginstitusikan inovasi di Malaysia.
Menurut Tinjauan Ekonomi dan Fiskal dan Anggaran Hasil 2023 Terkini, langkah berkenaan bertujuan meningkatkan daya saing industri negara di peringkat global.
Selain itu, keutamaan akan diberikan kepada langkah khusus bagi menggalak kerjasama dan menghubungkan PMKS dengan rangkaian pengetahuan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) termasuk syarikat multinasional (MNC), ahli akademik, institusi penyelidikan dan komuniti inovator.
“Usaha bagi meluaskan penggunaan e-pembayaran dalam komuniti dan menyediakan latihan mengenai digitalisasi perniagaan, automasi dan penggunaan kecerdasan buatan untuk PMKS juga akan diperkukuh.
“Inisiatif tersebut akan menggalakkan dan mendorong penerimagunaan proses yang inovatif dalam kalangan PMKS,” katanya.
Mengenai Belanjawan 2023, kerajaan juga akan memberi tumpuan dalam meningkatkan akses kepada pembiayaan bagi mengukuhkan ekosistem inovasi melalui penambahbaikan kawal selia dan prosedur perniagaan.
Katanya, langkah itu bertujuan membangunkan lebih banyak perniagaan tempatan dan menarik perniagaan global ke Malaysia dengan melaksanakan pelbagai inisiatif.
“Ia bertujuan untuk menggalakkan perniagaan mengamalkan pelaksanaan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan memperbanyak pelaburan hijau bagi mengekalkan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelaburan bernilai tinggi.
“Usaha ini akan mengukuhkan integrasi syarikat Malaysia dalam rantaian bekalan global di samping menarik lebih banyak FDI dan pelaburan langsung domestik (DDI).
“Secara keseluruhan, usaha tersebut akan mempercepat pewujudan syarikat pemula yang mempunyai pertumbuhan tinggi dan firma inovatif untuk memacu transformasi ekonomi Malaysia,” katanya.
Selain itu, pertumbuhan industri berimpak tinggi dan strategik akan dipercepat bagi menggalakkan penghasilan produk yang canggih, berteknologi dan bernilai tambah tinggi serta mewujudkan lebih banyak pekerjaan berpendapatan tinggi dan mengembangkan pasaran eksport.
“Dengan peralihan pantas industri tersebut, Kerajaan akan mempercepat penerimagunaan digitalisasi dan inovasi teknologi serta meningkatkan langkah keselamatan siber sejajar dengan pelancaran 5G sebagai pemacu pertumbuhan,” katanya. – UTUSAN










