JUMLAH jaminan kerajaan (GG) terkumpul pada akhir 2022 dianggarkan sebanyak RM317.6 bilion atau 17.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding RM 310.4 bilion pada 2021.
Menurut Tinjauan Ekonomi dan Fiskal dan Anggaran Hasil 2023 Terkini, terdapat terbitan baharu oleh DanaInfra Nasional Berhad (DanaInfra), Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) untuk membiayai projek infrastruktur pengangkutan awam sedia ada, Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) bagi fasiliti pinjaman perumahan kepada penjawat awam, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk pinjaman pendidikan serta Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) untuk langkah penstrukturan semula dan rehabilitasi.
“Walau bagaimanapun, jumlah GG terkumpul menyederhana sebanyak 2.3 peratus berikutan penyelesaian pembiayaan untuk beberapa pemegang GG seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang dan Johor Corporation serta penebusan awal hutang oleh Senai Airport Terminal Services Sdn. Bhd. dan Penerbangan Malaysia Berhad.
“Jaminan pinjaman yang memerlukan bantuan kewangan dalam pelbagai bentuk termasuk peruntukan awal untuk projek dalam pembinaan atau fasa permulaan operasi, bantuan modal kerja dan pembayaran faedah adalah diklasifikasikan sebagai komitmen jaminan.
“Kebanyakan projek adalah projek berimpak tinggi berpaksikan rakyat seperti penyediaan infrastruktur dan pengangkutan.
“Pada masa ini, komitmen jaminan turut mengambil kira jaminan yang disediakan di bawah Seksyen 14, Akta Tatacara Kewangan 1957,” katanya.
Pada akhir 2022, komitmen jaminan dianggarkan sebanyak RM205.9 bilion berbanding RM197.3 bilion pada 2021 berikutan terbitan pembiayaan baharu oleh entiti seperti MRL, Danainfra dan Prasarana untuk projek sedia ada.
Sementara itu, laporan itu memberitahu, jumlah hutang terkumpul 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) pada akhir 2022 berkurang kepada RM18.2 bilion daripada RM32.1 bilion pada 2021 berikutan penebusan hutang bagi 1MDB Energy Ltd. pada Mei 2022 dan 1MDB Energy (Langat) Ltd. pada Oktober 2022 menggunakan dana daripada Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset.
Ujarnya, baki Akaun Amanah pada akhir 2022 yang dianggarkan sebanyak RM1.9 bilion akan digunakan untuk membayar faedah bagi baki hutang prinsipal.
“Penebusan bon 1MDB Global Investment Limited pada Mac 2023 berjumlah AS$ 3 bilion telah diperuntukkan dalam Belanjawan 2023.
“Penebusan hutang prinsipal 1MDB terakhir berjumlah RM5 bilion akan diselesaikan pada Mei 2039,” katanya. – UTUSAN










