HASIL negara diunjur sebanyak RM908.5 bilion atau 15.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tempoh tiga tahun di bawah Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana (MTFF) 2023 – 2025.
Menurut Tinjauan Ekonomi dan Fiskal dan Anggaran Hasil 2023 Terkini, hasil tersebut terutamanya disumbangkan oleh hasil bukan petroleum yang dianggarkan berjumlah RM734.5 bilion atau 12.2 peratus daripada KDNK.
Hasil berkaitan petroleum diunjur berjumlah RM174 bilion atau 2.9 peratus daripada KDNK.
Selain itu, jumlah siling indikatif perbelanjaan bagi tempoh tiga tahun dijangka berjumlah RM1.153 triliion atau 19.2 peratus daripada KDNK dengan peruntukan perbelanjaan mengurus (OE) diunjur sebanyak RM889.1 bilion atau 14.8 peratus daripada KDNK.
Sementara itu, perbelanjaan pembangunan (DE) berjumlah RM264.2 bilion atau 4.4 peratus daripada KDNK.
“MTFF 2023 – 2025 dirangka berdasarkan andaian makroekonomi terkini, perkembangan ekonomi global dan perubahan harga komoditi.
“Rangka kerja in telah disemak semula berasaskan andaian pertumbuhan KDNK benar pada purata 4.7 peratus, harga minyak mentah pada paras AS$80 setong dan pengeluaran minyak mentah yang stabil sebanyak 530,000 tong sehari,” kata laporan itu.
Tambahan pula, rangka kerja itu juga mengambil kira beberapa tindak balas dasar dan inisiatif pembaharuan bagi membina semula ruang fiskal dan mengukuhkan kewangan awam dalam jangka masa sederhana dan panjang.
Unjuran ini termasuk langkah berperingkat bagi meningkatkan mobilisasi hasil serta mengurangkan ketirisan perbelanjaan dan peralihan kepada mekanisme subsidi lebih bersasar.
“Secara keseluruhan, defisit fiskal bagi tempoh MTFF 2023 – 2025 dijangka berkurang secara berperingkat dengan baki keseluruhan pada purata 4.1 peratus daripada KDNK.
“Pada akhir 2025, defisit fiskal dijangka mencecah 3.2 peratus manakala defisit baki primer berada pada paras 0.6 peratus daripada KDNK,” jelasnya.
Defisit yang lebih rendah menggambarkan komitmen kerajaan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan dan membina semula ruang fiskal bagi memastikan kemampanan kewangan awam dalam jangka masa panjang. – UTUSAN










