Fokus tangani peningkatan kos sara hidup

[TINJAUAN EKONOMI] Fokus tangani peningkatan kos sara hidup

INFLASI di Malaysia dijangka meningkat tahun depan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELANJAWAN 2023 akan memfokuskan langkah-langkah menangani peningkatan kos sara hidup, memperkukuh jaringan keselamatan sosial dan meningkatkan ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan juga akan menelusuri kaedah untuk mengurangkan gangguan dalam pasaran serta memperkemas proses perniagaan melalui adaptasi teknologi tinggi dan digitalisasi.

Ujarnya, objektif utama adalah untuk memastikan pengagihan kekayaan dan pembangunan wilayah yang saksama dan mampan.

“Seiring dengan peralihan kepada fasa endemik dan pembukaan semula sempadan antarabangsa, negara menyaksikan peningkatan jumlah ketibaan pelancong, aktiviti perdagangan dan perniagaan menyumbang ke arah pemulihan yang stabil, khususnya dalam sektor per­khidmatan.

“Berlandaskan kekukuhan asas makroekonomi, disokong keteguhan permintaan domestik dan keberkesanan pelaksa­naan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), ekonomi dijangka mencatat pertumbuhan sekitar 4.5 peratus pada 2023.

“Inisiatif pembaharuan akan dipercepat bagi memperkukuh tadbir urus kewangan awam dan memastikan kestabilan makroekonomi di samping meneruskan agenda pembangunan negara,” katanya dalam prakata Tinjauan Ekonomi dan Fiskal dan Anggaran Hasil 2023 Terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan.

Oleh yang demikian, beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan, kerajaan akan memberi keutamaan kepada pengukuhan ekosistem tata kelola pada semua peringkat bagi meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan.

Menurut beliau, inisiatif itu akan menumpukan kepada ke­te­lusan, integriti dan kecekapan khususnya dalam perolehan kerajaan, tadbir urus yang baik dan peranan pembangunan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta institusi Parlimen.

“Cabaran getir ini memerlukan kerajaan melaksanakan disiplin fiskal yang ketat di samping mengimbangi keupayaan penjanaan hasil dan komitmen perbe­lanjaan seterusnya mengurangkan hutang dan liabiliti kerajaan secara beransur-ansur.

“Pelbagai inisiatif telah dikenal pasti untuk menangani isu berkaitan kewangan awam termasuk meneroka sumber hasil baharu yang mampan dan meminimumkan ketirisan,” ujarnya.

Ke arah mencapai inisiatif ini, kerajaan akan memberi penekanan terhadap kajian semula perbelanjaan awam dan memastikan kemampanan hutang serta meningkatkan kecekapan dalam perbelanjaan bagi jangka masa panjang.

Jelasnya, ini akan meningkatkan fleksibiliti fiskal negara, membolehkan kerajaan melaksanakan langkah dasar kitaran balas dan mengekalkan daya tahan ekonomi negara.

“Kerajaan kekal komited dalam mengimbangi keperluan menjaga kesejahteraan rakyat dan negara serta memastikan kedudukan fiskal yang kukuh dan mampan.

“Matlamat untuk mengekalkan kedudukan tinggi penarafan kedaulatan negara dan memastikan kedudukan utama Malaysia sebagai sebuah negara yang mesra pelabur dan perniagaan adalah penting, terutamanya dalam mencipta dan menarik pelaburan bernilai tambah tinggi bagi mencapai pertumbuhan yang berkualiti dan inklusif,” katanya.

Tambah beliau, oleh kerana 2023 dijangka menjadi tahun yang mencabar, kerajaan akan terus cakna terhadap sebarang cabaran ekonomi dan ketegangan geopolitik yang mendatang seterusnya akan merangka strategi dan tindakan yang bersesuaian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN