[TINJAUAN EKONOMI] Dasar fiskal kekal responsif

[TINJAUAN EKONOMI] Dasar fiskal kekal responsif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DASAR fiskal pada 2023 akan kekal responsif dalam mena­ngani sebarang risiko terhadap ekonomi negara dan kesejahte­raan rakyat berikutan ketidaktentuan aktiviti ekonomi global.

Walau bagaimanapun, kerajaan perlu mengimbangi antara keperluan untuk mempercepat momentum pertumbuhan dan mengawal tekanan inflasi de­ngan meneruskan pengurusan fiskal yang berhemat.

Menurut Tinjauan Ekonomi dan Fiskal dan Anggaran Hasil 2023 Terkini, selaras dengan aspirasi Madani, sumber fiskal akan disalurkan ke arah memperkukuh jaringan keselamatan sosial rakyat, menambah baik infrastruktur pendidikan dan pembelajaran dan memperkukuh sektor kesihatan.

Selain itu, ia juga akan digunakan untuk memastikan ke­terjaminan makanan, meningkatkan aktiviti pelaburan yang memberi impak serta menggalak­kan digitalisasi dan kesalinghubungan.

“Hasil dijangka lebih rendah iaitu RM291.5 bilion atau 15.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) selari dengan unjuran pertumbuhan ekonomi global yang perlahan dan jangkaan harga komoditi yang lebih sederhana.

“Jumlah perbelanjaan dianggar berkurang secara marginal kepada RM386.1 bilion atau 20.4 peratus daripada KDNK terutamanya disebabkan oleh penamatan Kumpulan Wang Covid-19 (KWC-19) dan langkah mengoptimum perbelanjaan,” kata laporan tersebut.

Tambah laporan itu lagi, peruntukan Perbelanjaan Me­ngurus (OE) dianggar berkurang kepada RM289.1 bilion terutamanya disebabkan subsidi yang lebih rendah berikutan jangkaan harga minyak mentah yang sederhana dan langkah berperingkat ke arah mekanisme pemberian subsidi yang lebih bersasar.

Selain itu, peruntukan Per­belanjaan Pembangunan (DE) dianggar meningkat dengan ketara kepada RM97 bilion melibatkan program dan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) seperti pembinaan lebuh raya dan infrastruktur pengangkutan awam, kemudahan perubatan serta institusi pendidikan.

Dalam pada itu, sejumlah AS$3 bilion disediakan untuk penebusan bon 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Secara keseluruhan, defisit fiskal dijangka terus menyusut kepada 5 peratus daripada KDNK. Defisit baki primer pula dianggar terus berkurang kepada 2.5 peratus daripada KDNK.

“Kerajaan komited untuk meneruskan pelan konsolidasi fiskal berpandukan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana (MTFF),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN