AKTIVITI pelancongan yang kembali rancak pada 2023 dijangka akan memulihkan akaun perjalanan untuk mencatat lebihan berjumlah RM11.4 bilion.
Terimaan daripada akaun perjalanan dijangka meningkat kepada RM49.4 bilion berikutan ketibaan pelancong dan perbelanjaan per kapita yang lebih tinggi.
Sementara itu, menurut Tinjauan Ekonomi dan Fiskal dan Anggaran Hasil 2023 Terkini, bayaran dijangka mencatat RM38 bilion disebabkan oleh perbelanjaan penduduk Malaysia di luar negara serta aktiviti perniagaan, pendidikan dan keagamaan.
“Sebaliknya, akaun perkhidmatan lain dijangka mencatat defisit lebih rendah berjumlah RM9 bilion disebabkan oleh terimaan dan bayaran yang lebih kecil selari dengan aktiviti ekonomi global yang lebih perlahan.
“Defisit yang mengecil berjumlah RM62.9 bilion diunjur dalam akaun pendapatan primer disumbangkan oleh terimaan secara marginal dalam pendapatan pelaburan walaupun bayaran lebih rendah oleh pelabur asing sejajar dengan kelembapan ekonomi global,” katanya.
Laporan menyatakan, penerimagunaan yang pantas dalam digitalisasi dan automasi dijangka meningkatkan pampasan untuk profesional asing seterusnya menyumbang kepada defisit lebih besar.
“Akaun pendapatan sekunder dijangka mencatat aliran keluar bersih lebih tinggi berjumlah RM25.8 bilion disebabkan oleh peningkatan dalam bayaran one-off dan kiriman wang keluar oleh pekerja asing,” ujarnya.
Selain itu, menurut laporan, eksport kasar diunjur menyederhana sebanyak 1.6 peratus merentasi semua sektor.
Ujarnya, jangkaan kelembapan permintaan luar adalah disebabkan oleh pertumbuhan yang kurang memberangsangkan berikutan ketidakstabilan geopolitik berterusan serta unjuran harga komoditi global lebih rendah.
“Eksport barangan pembuatan dijangka meningkat sebanyak 1.6 peratus disokong oleh permintaan berterusan bagi produk elektrik dan elektronik (E&E) iaitu 45.5 peratus daripada jumlah eksport barangan pembuatan dan produk bukan E&E sebanyak 55.5 peratus.
“Eksport barangan pertanian pula diunjur berkembang sebanyak 1.3 peratus disokong permintaan lebih tinggi untuk minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit.
“Tambahan pula, pendapatan eksport daripada barangan perlombongan dianggar meningkat sebanyak 1.5 peratus disumbangkan oleh permintaan lebih kukuh daripada pasaran utama khususnya untuk LNG (1.5 peratus) meskipun permintaan untuk petroleum mentah (2.2 peratus) menyederhana dalam kalangan rakan dagang utama,” ujarnya.
Laporan menunjukkan, import kasar dijangka meningkat sebanyak 1.1 peratus berikutan permintaan tinggi untuk barangan pengantara, barangan modal dan barangan penggunaan yang menunjukkan permintaan domestik dan aktiviti pelaburan yang bertambah baik.
“Selain itu, apabila perbelanjaan swasta terus meningkat seiring dengan peningkatan keyakinan pengguna, import barangan penggunaan diunjur turut berkembang sebanyak 1.0 peratus didorong oleh makanan dan minuman,” ujarnya. – UTUSAN










