Proton, Perodua bakal keluarkan EV mampu milik

Proton, Perodua bakal keluarkan EV mampu milik

MODEL kenderaan elektrik yang bakal dibangunkan oleh Proton dengan kerjasama syarikat Jerman, Smart. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia berpeluang memiliki ken­deraan elektrik (EV) pada harga berpatutan ekoran syarikat automotif tempatan dijangka mengeluarkan kereta tersebut dalam tempoh tiga ke empat tahun lagi.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memaklumkan, satu perbincangan bersama pengeluar kereta tempatan untuk mengeluarkan kenderaan ber­kenaan pada harga berpatutan sedang dijalankan.

Bagaimanapun, harga sebenar kereta EV tempatan ber­kenaan tidak dimaklumkan memandangkan ia masih dalam perbincangan.

Pengarah Kanan Pembangunan Industri MITI, Datuk Hanafi Sakri berkata, perbincangan menghasilkan EV mampu milik itu melibatkan kementerian bersama Proton Holdings Berhad (Proton) dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua).

Menurut Hanafi, pengeluaran kereta EV oleh kedua-dua syarikat berkenaan mampu membantu kerajaan memenuhi sasaran 15 peratus EV termasuk hibrid daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) sektor automatif menjelang 2030.

“Sudah pastinya kami di MITI mahu melihat kenderaan elektrik yang berpatutan harganya dijual kepada rakyat dan kita melihat Proton dan Perodua boleh mengeluarkan model mampu milik.

“Kita sudah adakan sesi bersama mereka dan MITI menjangkakan mereka untuk mengeluarkan kertas cadangan berkenaan perkara ini dan MITI akan melihat bagaimana kita dapat membantu mereka,” katanya kepada pemberita dalam sidang media Persidangan EV 2023 di sini, semalam.

Jelas beliau, perancangan itu penting memandangkan umum mengetahui pasaran EV di negara ini didominasi oleh ken­deraan mewah seperti BMW dan Tesla yang menjangkau populasi utama negara.

“Melalui inisiatif ini kita mampu mencapai sasaran sekurang-kurangnya 15 peratus TIV kira menjelang 2030 adalah daripada EV,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ke­tua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah ketika sesi dialog Daya Saing Pasaran Pembangunan EV di Malaysia pada program berkenaan berkata, pengeluar kereta nasional itu komited untuk mengeluarkan EV.

“Proton sentiasa memantau industri EV dan kita melihat kepentingan untuk kami me­nyertai pasaran EV memandang­kan minat yang ditunjukan pemain industri.

“Bagi menembusi pasaran EV sepenuhnya, Proton telah menjalankan kerjasama dengan Smart Automobile Co Ltd bagi mengedar, menjual dan servis kenderaan EV di pasaran Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, Proton juga akan menjual EV Smart Automobile di pasaran Malaysia bermula suku keempat tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN