Prospek industri sawit tahun ini lebih cerah - Utusan Malaysia

Prospek industri sawit tahun ini lebih cerah

Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Industri sawit negara diunjur kekal berdaya tahan dan kompetitif pada 2023 didorong oleh permintaan minyak sawit yang dijangka lebih kukuh, meskipun kelembapan ekonomi global berisiko memberi kesan kepada perdagangan dunia, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, permintaan eksport minyak sawit ke China yang merupakan antara negara pengimport terbesar sawit dijangka akan lebih kukuh pada tahun ini, susulan pembukaan sempadan serta penetapan sasaran ekonomi baharu untuk 2023 yang dikemukakan oleh kerajaan China awal tahun ini.

“Prospek industri sawit Malaysia dijangka lebih cerah pada tahun ini, walaupun purata harga minyak sawit mentah (MSM) 2023 dijangka sedikit lebih rendah berbanding pada 2022.

“Harga MSM pada 2023 dijangka kekal pada momentum yang tinggi berbanding pada tahun-tahun sebelumnya. Harga purata MSM diunjur sekitar RM4,000 hingga RM4,200 setiap tan pada 2023 berbanding RM5,087.50 setiap tan pada 2022.

“Pengeluaran MSM dijangka meningkat kepada 19 juta tan pada 2023 ekoran daripada langkah pemulihan pekerja asing serta jangkaan peningkatan kawasan sawit matang.

“Peningkatan pengeluaran MSM itu dijangka mampu merangsang pertumbuhan eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelasnya, stok MSM dijangka susut 8.7 peratus kepada 2 juta tan pada Disember 2023 berbanding 2.19 juta tan pada Disember 2022 berikutan jangkaan peningkatan permintaan eksport, terutamanya dari negara pengimport utama.

Mengulas lanjut, Ahmad Parveez berkata, MSM akan terus berhadapan dengan persaingan daripada minyak sayuran lain seperti minyak kacang soya, minyak bunga matahari, minyak biji sesawi dan lain-lain.

“Permintaan minyak sawit oleh negara pengimport bergantung kepada keadaan harga semasa minyak sawit dan minyak sayuran lain, ketersediaan bekalan minyak sayuran pesaing lain, amalan perdagangan dan perkembangan sedia ada dalam pasaran domestik negara pengimport dan bukan semata-mata berdasarkan polisi daripada negara pengeksport.

“Selain itu, harga merupakan faktor terpenting khususnya bagi negara dimana pasaran tempatannya dianggap sensitif kepada perubahan harga.

“Namun, faktor-faktor lain itu juga boleh memainkan peranan yang lebih penting berbanding dengan harga dalam pemilihan negara atau pihak pengeksport.

“Permintaan MSM dijangka terus meningkat sejajar dengan peningkatan populasi dan permintaan yang tinggi untuk kegunaan sektor makanan.

“Bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat ini, MPOB komited untuk mengukuhkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan penggunaan minyak sawit dan pengeluaran produk bernilai tambah tinggi untuk pasaran eksport,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya