Projek Kwasa Damansara sedia lebih 10,000 rumah mampu milik - Utusan Malaysia

Projek Kwasa Damansara sedia lebih 10,000 rumah mampu milik

AMIRUDIN Shari (tengah) menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Rumah Idaman Kwasa Damansara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dengan kerjasama Kwasa Land Sdn. Bhd. (Kwasa Land), anak syarikat milik penuh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menganjurkan Majlis Pecah Tanah Rumah Idaman Kwasa Damansara, sebuah pembangunan rumah mampu milik pertama di Kwasa Damansara.

Projek dengan kerjasama Gagasan Nadi Cergas Berhad itu juga akan memperuntukkan kira-kira 40 peratus atau lebih 10,000 unit daripada keseluruhan 25,000 unit kediaman di perbandaran tersebut sebagai unit rumah mampu milik.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Selangor merupakan negeri yang mempunyai perbandaran yang pesat dengan harga perumahan median tertinggi di negara ini, penyediaan rumah mampu milik merupakan langkah penting untuk menjaga kestabilan ekonomi dan sosial jangka panjang Negeri Selangor.

“Dengan usaha kerjasama oleh PNSB, MBI, Kwasa Land dan Gagasan Nadi Cergas, saya percaya pembangunan Rumah Idaman di Kwasa Damansara ini dapat memberi nilai tambah dalam penawaran unit rumah mampu milik kepada golongan B40 dan M40 di Selangor.

“Saya juga yakin perbandaran atau ‘township’ baharu Kwasa Damansara akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi di utara Lembah Klang.

“Sebagai pembangunan berorientasikan transit dengan rangkaian sambungan yang baik, Kwasa Damansara akan menjadi pembangunan yang ideal untuk memenuhi keperluan golongan profesional muda dan keluarga dalam persekitaran bandar bersepadu,” katanya dalam kenyataan.

Setiap unit pangsapuri Rumah Idaman mengandungi tiga bilik tidur dan dua bilik air serta akan dilengkapi dengan set televisyen, peti sejuk, kabinet dapur, almari, pemanas air dan pendingin hawa.

Pembangunan ini mempunyai reka bentuk moden kontemporari yang menarik dan juga akan dilengkapi dengan dua ruang tempat letak kereta untuk setiap unit pangsapuri.

Kwasa Damansara meliputi kawasan seluas 2,259 ekar yang akan dibangunkan secara bercampur berkonsepkan perbandaran hijau, terhubung dan inklusif yang akan menawarkan pelbagai kediaman, komersil, rekreasi dan pendidikan.

Setelah siap kelak, ia dijangka akan mempunyai populasi kira-kira 200,000 penduduk.

Sementara itu, Pengerusi Kwasa Land, Tan Sri Mohammed Azlan Hashim berkata, keseluruhan projek ini akan merangkumi pembangunan 4,694 unit rumah mampu milik Rumah Idaman MBI, di atas dua plot tanah berkeluasan 39.12 ekar.

“Dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah RM1 bilion, pembangunan ini menggariskan komitmen bersama dengan Gagasan Nadi Cergas, rakan kongsi kami dalam projek ini.

“Kami mahu memberi lebih banyak peluang kepada rakyat dalam kumpulan pendapatan B40 dan M40 untuk memiliki rumah, sejajar dengan matlamat berterusan kerajaan negeri dan merapatkan jurang dalam kemampuan pemilikan rumah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim berkata, Projek Rumah Idaman ini akan menjadi nilai tambah kepada pembangunan Bandar Kwasa Damansara, sebuah perbandaran inklusif dan mampan yang akan menjadi kediaman kepada rakyat dari pelbagai latar belakang.

“Memandangkan populasi Negeri Selangor akan terus berkembang pesat, adalah penting bagi penduduk B40 diberi peluang untuk memiliki rumah dalam persekitaran yang kondusif, bersih dan direka dengan baik.

“Oleh itu, memiliki rumah mampu milik merupakan pelaburan untuk kesejahteraan generasi akan datang,” katanya.

Pengarah Urusan Kumpulan Gagasan Nadi Cergas, Wan Azman Wan Kamal berkata, pihaknya komited untuk menjadi rakan kongsi kepada usaha gigih Kerajaan Negeri Selangor untuk memperluaskan penyediaan rumah mampu milik untuk rakyat.

“Kadar pembangunan yang tinggi untuk projek rumah mampu tedahulu yang dibina oleh kumpulan syarikat kami menunjukkan kedudukan kami sebagai pemaju yang berkualiti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.