PETALING JAYA: Selepas empat bulan berturut-turut aliran keluar bersih berjumlah RM8.6 bilion, pelabur asing menjadi pembeli bersih bon ringgit berjumlah hampir RM500 juta pada Januari, kata Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC).
Agensi penarafan itu berkata, selaras dengan ini, hasil 10 tahun Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) jatuh di bawah 4.0 peratus buat kali pertama sejak Ogos 2022.
“Prospek ekonomi Malaysia telah bertambah baik berikutan pembukaan semula China, ia sekali gus membantu keadaan ini.
“Ini juga disokong oleh pertumbuhan harga pengguna yang berkurangan, yang jatuh ke paras terendah enam bulan pada 3.8 peratus tahun ke tahun pada Disember 2022 berbanding 4.0 peratus pada),” kata MARC dalam satu kenyataan.
Ia berkata, pegangan asing susut sedikit kepada 13.1 peratus daripada jumlah terkumpul berbanding 13.2 peratus pada Disember lalu, sebahagiannya disebabkan oleh terbitan bersih bon kerajaan yang lebih tinggi tanpa penebusan MGS/Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) untuk bulan kedua berturut-turut.
Menurut MARC, terbitan kasar MGS/GII meningkat kepada RM15.0 bilion pada Januari daripada RM8.5 bilion bulan sebelumnya.
Keuntungan itu disebabkan oleh peningkatan terbitan dalam kedua-dua segmen MGS iaitu RM5.5 bilion pada Januari lalu berbanding RM4.5 bilion pada Disember 2022 dan GII sebanyak RM9.5 bilion pada Januari lalu berbanding RM4.0 bilion pada Disember 2022.
“Jadi, tidak pelik pasaran bon tempatan bertindak balas positif terhadap pemberhentian Bank Negara Malaysia (BNM) dalam menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) pada Januari,” katanya.
Hentian sementara kenaikan OPR itu akan memberi BNM masa untuk menilai kesan daripada empat kenaikan 25 mata asas (bps) berturut-turut pada 2022 yang telah menjadikan OPR kepada 2.75 peratus.
Di tengah-tengah pertumbuhan ekonomi yang teguh dan inflasi melebihi purata, pintu untuk kenaikan OPR selanjutnya masih terbuka, kata MARC.
“Kami menjangka BNM akan terus menyesuaikan dasar monetari untuk meminimumkan ringgit dan turun naik aliran modal, memandangkan bank pusat utama kekal pada laluan mengetatkan kadar, walaupun kurang agresif.
“Kemungkinan besar kenaikan OPR sebanyak 25 mata asas akan berlaku dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) akan datang pada 8 hingga 9 Mac ini,” katanya. – UTUSAN