PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka terpaksa menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas lagi kepada 3.0 peratus pada Mac ini bagi memastikan pelaburan di negara ini kekal kompetitif selain mengukuhkan mata wang ringgit.
Ia harus dilakukan berikutan keputusan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) yang menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas kepada 4.75 peratus.
Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, menerusi keputusan tersebut, julat perbezaan kadar faedah AS dan OPR negara sudah melebar kepada 2.0 peratus, sekali gus boleh menyebabkan pelabur asing beralih kepada pelaburan di AS yang menjanjikan pulangan yang lebih tinggi berbanding di Malaysia.
“Oleh itu, kenaikan OPR terpaksa dilakukan bagi memastikan pelaburan di Malaysia kekal kompetitif dan mengukuhkan ringgit.
“Namun, tidak dinafikan kenaikan kadar OPR juga akan menyebabkan peminjam yang mempunyai pinjaman kadar terapung akan mengalami peningkatan bayaran bulanan dan boleh meningkatkan risiko ketidakmampuan peminjam dalam membayar hutang mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid pula berpendapat, kemungkinan BNM akan mengekalkan kadar OPR pada 2.75 peratus sehingga Mac nanti kerana kenaikan kecil kadar Faedah di AS dan kadar inflasi negara yang semakin terkawal.
“Untuk menyokong pemulihan ekonomi domestik negara, pengekalan OPR dapat memberikan sokongan kepada keseluruhan sektor ekonomi daripada peringkat pengguna hinggalah peniaga mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Ia penting untuk mengurangkan kenaikan kos sara hidup yang masih menjadi masalah utama kepada majoriti rakyat di negara ini,” ujarnya.
Menurut beliau, kenaikan kecil yang diumumkan Fed AS itu turut memberi petunjuk bahawa kenaikan kadar faedah sudah hampir mencapai matlamat yang diinginkannya, di mana kadar inflasi negara itu sudah menurun dan ekonomi AS juga turut perlahan.
“Jadi, kenaikan besar kadar faedah yang berterusan dikhuatiri akan mengheret AS khususnya kepada kemelesetan ekonomi dan dunia amnya.
“Namun, pihak AS tidak menafikan kadar faedah yang kini berada pada 4.75 peratus akan dinaikkan juga walaupun pada kadar yang kecil sekitar 25 mata asas lagi dalam tahun ini,” ujarnya.
Aimi Zulhazmi menjelaskan, tindakan itu turut memberikan kesan yang baik kepada nilai mata wang ringgit dan mata wang dunia yang lain kerana ia memberhentikan aliran modal ke pasaran bon AS.
“Selain itu, para pengurus dana akan kembali kepasaran ekuiti negara-negara membangun termasuk Malaysia untuk mengambil peluang pelaburan pemulihan ekonomi selepas pandemik berlalu.
“Pembukaan ekonomi China juga turut membantu kepesatan pemulihan ekonomi dirantau Asia amnya termasuk Malaysia,” jelasnya. – UTUSAN










