KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) tidak terikat dengan tindakan mana-mana bank pusat dalam menetapkan kadar faedah atau kadar dasar semalaman (OPR).
Sebaliknya, Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus menjelaskan, kenaikan OPR diputuskan oleh Jawatankuasa Dasar Monetari berdasarkan persekitaran dan pertumbuhan ekonomi domestik.
“Saya ingin menegaskan, kami tidak menetapkan OPR kami berdasarkan keputusan bank pusat lain ke atas dasar monetari mereka,” katanya dalam sidang akhbar Prestasi Ekonomi Suku Keempat Tahun 2022, di Sasana Kijang BNM, hari ini.
MPC dalam mesyuaratnya pada 19 Januari lalu mengekalkan OPR pada kadar 2.75 peratus di sebalik jangkaan banyak kenaikan kadar faedah sebanyak 25 mata asas untuk mengawal inflasi, selaras dengan tindakan bank-bank pusat lain, termasuk Rizab Persekutuan Amerika Syarikat.
Jawatankuasa itu sebelum ini telah menaikkan OPR sebanyak empat kali berturut-turut pada 25 mata asas.
Mengulas lanjut, Nor Shamsiah berkata, keputusan mengekalkan OPR membolehkan MPC menilai kesan kenaikan yang dibuat sebelum ini.
Beliau menambah, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari negara kekal akomodatif dan penyokong pertumbuhan ekonomi domestik.
“MPC akan terus menentukur tetapan dasar monetari yang mengimbangi risiko kepada inflasi domestik dan pertumbuhan mampan,” katanya. – UTUSAN










