PETALING JAYA: Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) bersama Kerajaan Negeri Sabah memperluaskan kerjasama dalam industri minyak dan gas (O&G) melalui Perjanjian Utama (HOA) bagi Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Samarang.
Petronas dalam satu kenyataan memaklumkan perjanjian berkenaan ditandatangani anak syarikat milik penuhnya Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) dengan SMJ Sdn Bhd (SMJSB), sebuah syarikat milik Kerajaan Negeri Sabah.
Menurut Petronas, HOA itu membuka jalan kepada potensi pengambilalihan 50 pertaus kepentingan penyertaan SMJSB dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Samarang yang medan minyaknya terletak kira-kira 50km di luar pesisir pantai Sabah.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, Petronas berkongsi aspirasi negeri untuk kemakmuran bersama walaupun kedua-duanya mengejar pembangunan mampan.
Katanya, kerjasama dengan SMJSB sebagai rakan kongsi perniagaan huluannya, menggariskan usaha Petronas membina persekitaran yang lebih inklusif untuk industri minyak dan gas di Sabah, tidak kira di luar pesisir mahupun di darat.
“Potensi penyertaan SMJBS dalam PSC Samarang juga menunjukkan komitmen berterusan Petronas di bawah Perjanjian Kerjasama Komersial untuk membangun dan membuka potensi penuh industri minyak dan gas Sabah,” katanya.
Perjanjian itu ditandatangani antara Ketua Pegawai Eksekutif PCSB, Hasliza Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif SMJSB, Dr. Dionysia Aloysius Kibat.
Turut hadir bersama menyaksikan perjanjian berkenaan, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.
Untuk rekod, PSC Samarang merupakan aset pengeluar yang merangkumi hab minyak dan gas utama di Sabah di mana pada masa ini ia mengeluarkan kira-kira 36,000 tong bersamaan minyak sehari (boe/d) untuk kedua-dua minyak dan gas dan dihantar kepada pelanggan di Kota Kinabalu dan Labuan. – UTUSAN










