PETALING JAYA: NAZA TTDI Sdn. Bhd. melancarkan Kempen “Harmoni of Living” (Keharmonian Kehidupan) sempena ulang tahun ke-50 penubuhannya, dengan menawarkan hadiah menarik bernilai lebih RM500,000 termasuk Mercedez Benz EQA 250 dan Suzuki Swift Sport kepada pembeli hartanah bertuah.
Cabutan bertuah itu terbuka kepada pembeli unit dalam projek terpilih iaitu MET1 Residences, Sentralis Sovo, Plaza TTDI, TTDI Ascencia, Trio Permai – Soho, Trio Permai – Kedai, Trio Permai – Kedai dan TTDI Za’aba.
Pemilihan pemenang dijalankan dalam tiga cabutan iaitu pada Mei, Julai dan cabutan bertuah utama pada Ogos 2023.
Kempen tersebut diumumkan oleh Pengerusi NAZA TTDI, Datuk Jasmy Ismail semasa Malam Apresiasi Media NAXA TTDI yang diadakan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), kelmarin. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Daniel Lim.
Jasmy berkata, ulang tahun ke-50 NAZA TTDI merupakan peristiwa penting bagi syarikat itu yang menghadapi pelbagai cabaran, namun tetap teguh dalam fokus untuk menawarkan unit kediaman dan komersial yang menekankan penawaran nilai maksimum, inovasi serta kualiti.
“Ketika kami meraikan sambutan Jubli Emas tahun ini, kami akan terus memanfaat pengalaman dan pencapaian kami dalam membina perbandaran terkemuka berskala besar, serta projek premium dan mercu tanda.
“Kami telah merancang pelbagai aktiviti dalam tempoh enam bulan akan datang untuk memperingati peristiwa penting ini di bawah Kempen Ulang Tahun Ke-50 kami,” kata beliau.
Sepanjang 50 tahun sejak penubuhannya pada 1973, NAZA TTDI turut menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan komuniti utama di Lembah Klang melalui pembangunan dan projeknya.
Pencapaian NAZA TTDI termasuk menyiapkan perbandaran terkenal berskala besar dan projek premium serta mercu tanda seperti TTDI, TTDI Alam Impian, Platinum Park dan MITEC.
“Sebagai tambahan kepada pembangunan premium, NAZA TTDI juga membangunkan perumahan kos sederhana dan rendah.
“NAZA TTDI telah berjaya menyiapkan lebih 25,000-unit kediaman & komersil dan terus menyentuh kehidupan ramai kerana mereka kekal fokus pada pembangunan yang meningkatkan kualiti hidup dan membawa konsep gaya hidup yang berkisar kepada komponen Live, Work, Learn & Play,” katanya. – UTUSAN










