MRCB catat pertumbuhan kukuh 2022

MRCB catat pertumbuhan kukuh 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) mencatatkan pertumbuhan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM154.3 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, berbanding RM61.3 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Menurut kenyataan MRCB, prestasi yang kukuh tersebut didorong terutamanya oleh operasi yang lebih normal selepas dua tahun berdepan Covid-19, yang memacu peningkatan pendapatan dan pengiktirafan keuntungan daripada kemajuan pembinaan dan pemulihan dalam jualan hartanah.

Bagi tempoh yang sama, MRCB merekodkan hasil sebanyak RM3.2 bilion, naik berbanding RM1.4 bilion pada 2021.

Katanya, bahagian pembangunan dan pelaburan hartanah mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 84 peratus kepada RM914.6 juta dan peningkatan keuntungan operasi sebanyak 15 peratus kepada RM176.7 juta pada 2022.

“Ini disebabkan oleh keadaan operasi yang lebih baik berbanding 2021, yang terjejas teruk oleh penutupan tapak pembinaan yang menghalang kemajuan pembinaan dan pengiktirafan hasil.

“Terdapat juga pemulihan yang kukuh dalam jualan inventori tidak terjual yang telah siap serta unit daripada projek pembangunan hartanah yang sedang dalam pembinaan sejajar dengan pembukaan semula ekonomi dan mula pulih,” katanya di sini hari ini.

Kumpulan konglomerat itu berkata, penyumbang utama adalah dua projek pembangunan hartanah terbesar iaitu Sentral Suites dan TRIA 9 Seputeh, yang masing-masing mencapai kemajuan pembinaan sebanyak 89 peratus dan 88 peratus.

Jelasnya, bahagian tersebut menjual hartanah bernilai RM487.9 juta pada 2022 dan mempunyai jualan hartanah tidak dibilkan sebanyak RM536.5 juta pada 31 Disember 2022.

“Ekuiti kumpulan sebanyak 27.94 peratus dalam Sentral REIT dan 41 peratus  dalam Sentral REIT Management Sdn. Bhd, menyumbangkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM14.9 juta.

“Bahagian kejuruteraan, pembinaan dan alam sekitar merekodkan peningkatan 147 peratus dalam hasil kepada RM2.2 bilion.

“Sebahagian besarnya disumbangkan oleh projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) bernilai RM11.4 bilion, yang mencapai kemajuan pembinaan fizikal sebanyak 81 peratus dan kemajuan kewangan sebanyak 75 peratus pada 31 Disember 2022,” ujarnya.

Kumpulan juga mencapai kemajuan kukuh dalam strateginya untuk mempelbagaikan perniagaannya ke pasaran baharu dan berkembang ke luar negara pada 2022 dan mempunyai perancangan projek jangka panjang yang sihat.

“Ini termasuk taman perindustrian bersepadu Ipoh Raya dengan enam fasa seluas 328 hektar di Perak; serta projek pembangunan di Gold Coast, Australia dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak 391 juta dolar Australia dan New Zealand (GDV: 589 juta dolar New Zealand),” jelasnya.

Tambahnya, Kumpulan juga mempunyai buku tender pembinaan di Malaysia sebanyak RM30 bilion pada 31 Disember 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN