MRANTI jalin kerjasama percepat teknologi di MRANTI Park

MRANTI jalin kerjasama percepat teknologi di MRANTI Park

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), Digital Nasional Berhad (DNB) dan Ericsson melanjutkan Memorandum Persefahaman (MoU) mereka untuk mempercepatkan pengkomersilan sains yang didayakan 5G, Penyelesaian Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) untuk syarikat di Malaysia.

Tahun lalu, MoU telah ditandatangani dengan matlamat awal untuk menyediakan teknologi 5G MRANTI Park dan meningkatkan kesedaran mengenainya dalam masyarakat setempat.

MoU yang diperbaharui itu akan mengutamakan galakan kesedaran dan penggunaan 5G dalam kalangan perniagaan di Malaysia, dengan objektif mempercepatkan pelaksanaan agenda STIE yang didayakan 5G.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dzuleira Abu Bakar berkata, Pusat Pengalaman 5G di MRANTI Park yang dijangka dilancarkan pada Mac ini merupakan ruang baharu yang menarik di mana pelawat boleh mempelajari tentang kemajuan terkini dalam teknologi 5G melalui kes penggunaan praktikal dan pengalaman mendalam.

“Di MRANTI Park, kami melengkapkan inovator, penyelidik dan perniagaan dengan infrastruktur dan keupayaan termaju untuk memacu pulangan inovasi merentas ekosistem.

“Kerjasama ini akan mengukuhkan kedudukan MRANTI sebagai hab Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) terkemuka dengan kemudahan dan sumber untuk menyokong pertumbuhan industri dalam teknologi dron, kesihatan (healthtech), agrikultur (agritech), biosains dan teknologi pemboleh 4IR,” katanya dalam kenyataan.

MoU membabitkan tiga pihak itu disampaikan kepada rakan kongsi pada acara Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) Sistem Global untuk Persatuan Komunikasi Mudah Alih (GSMA) Barcelona 2023, semalam.

Menurut Dzuleira, hasil daripada kerjasama tahun lalu, MRANTI Park telah berjaya dilengkapi 5G dengan kelajuan muat turun lebih daripada 600Mbps.

“Secara khusus, kami menyasarkan untuk mempercepatkan pengkomersilan inovasi berkaitan STIE yang didayakan oleh 5G.

“Pada tahun yang akan datang, rakan kongsi merancang untuk memudahkan perbincangan dan interaksi yang lebih disasarkan dengan inovator, serta membuka pusat pengalaman 5G kami kepada perniagaan,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi DNB, Nasution Mohamed berkata, beliau berharap perniagaan di MRANTI Park kini boleh memanfaatkan teknologi 5G untuk membangunkan produk dan perkhidmatan berdaya 5G baharu dan menarik.

“DNB akan terus menyokong aspirasi ekonomi digital negara dengan menggunakan rangkaian dan infrastruktur 5G Malaysia pada jadual yang dipercepatkan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN