Maybank unjur OPR tiga peratus tahun ini

Maybank unjur OPR tiga peratus tahun ini, naik 25 mata asas

KHAIRUSSALEH RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malayan Banking Berhad (Maybank) mengunjurkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan berada pada paras tiga peratus tahun ini sama seperti sebelum Pandemik Covid-19.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, pihaknya melihat potensi kenaikan 25 mata asas lagi daripada Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) bagi tahun 2023.

Beliau berkata, bagaimanapun perkara berkenaan bergantung kepada keputusan BNM dan Maybank akan sentiasa memantau sebarang keputusan seterusnya daripada bank pusat itu.

“Berkemungkinan akan ada kenaikkan OPR kepada sekitar 3.0 peratus dan itu akan menjadikannya kembali kepada paras sebelum pandemik Covid-19.

“Jika ia berlaku sudah tentu ia akan bergantung kepada bagaimana bank pusat akan tentukan kerana kita tahu kenaikkan sebelum ini ditangguhkan,” katanya pada sidang media Laporan Penuh Maybank bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (TK22), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Khairussaleh berkata, semasa krisis kewangan sebelum ini, BNM dilihat menangguhkan beberapa bulan kenaikkan kadar faedah dan kemudian menaikkannya semula.

“Jadi anda tahu bahawa semuanya bergantung kepada maklumat yang diperoleh dan apa yang berlaku seluruh dunia tetapi dari sudut pandangan kami, OPR akan naik 25 mata asas lagi,”katanya.

Januari lalu, MPC BNM mengejutkan rakyat apabila memutuskan untuk mengekalkan OPR pada 2.75 peratus selepas empat kali kenaikkan berturut-turut tahun lalu.

Kenaikkan berkenaan berlaku pada Mei, Julai, September dan November 2022, melibatkan peningkatan 25 mata asas setiap kenaikkan bermula dari 1.75 peratus kepada 2.75 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN