Maybank catat untung bersih RM8.23b

Maybank catat untung bersih RM8.23b

ZAMZAMZAIRANI Mohd. Isa (dua kiri) dan Khairussaleh Ramli (kanan) bergambar selepas sidang media Laporan Penuh Maybank bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (TK22), di Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malayan Ban­king Berhad (Maybank) merekodkan pendapatan lebih tinggi bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (TK22) de­ngan keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat 11.6 peratus kepada RM12.15 bilion, berban­ding RM10.89 bilion tahun sebelumnya.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, keuntungan bersih meningkat kepada RM8.23 bilion, iaitu 1.7 peratus lebih tinggi daripada RM8.2 bilion yang dicatatkan tahun sebelumnya.

Menurut Khairussaleh, pendapatan operasi bersih juga meningkat kepada RM27.62 bilion, berdasarkan peningkatan 8.4 peratus dari tahun ke tahun dalam jumlah pendapatan berasaskan dana bersih kepada RM20.69 bilion.

Katanya, ia hasil daripada pertumbuhan pinjaman yang lebih kukuh dalam pasaran Malaysia dan Indonesia, masing-masing sebanyak 6.7 peratus dan 5.8 peratus serta pengembangan dalam margin faedah bersih (NIM) sebanyak tujuh mata asas pada kadar faedah yang lebih tinggi.

“Pendapatan bukan faedah (NOII) juga meningkat sembilan peratus pada RM6.93 bilion terutamanya daripada keuntungan pasaran ke atas liabiliti kewa­ngan dan keuntungan pertukaran asing.

“Sementara itu, kos operasi meningkat kepada RM12.81 bilion berbanding RM11.52 bilion setahun sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh pela­rasan perjanjian kolektif serta kos penebusan mata hadiah kad kredit sekali sahaja,” katanya pada sidang media Laporan Penuh TK22 Maybank di sini, semalam.

Tambah beliau, keuntungan operasi praperuntukan Maybank mencecah paras tertinggi baharu sebanyak RM14.81 bilion dengan peningkatan sebanyak 6.3 peratus tahun ke tahun.

“Kerugian kemerosotan nilai bersih berkurangan sebanyak 13.7 peratus kepada RM2.79 bi­lion terutamanya didorong oleh pengurangan 17.6 peratus dalam peruntukan pinjaman bersih kepada RM2.19 bilion,” katanya.

Mengulas lanjut, Khairussaleh berkata, pertumbuhan dalam perniagaan Maybank mencerminkan kekuatan dan daya tahan yang telah diba­ngunkan bank tersebut sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ditambah dengan kelebihan daya saing yang diperoleh daripada kehadiran serantau, kepelbagaian dan tumpuan kepada pengalaman pelanggan.

“Pelaksanaan program strategik (SP) M25+ akan meneruskan pertumbuhan mampan dan membina keupayaan merentasi manusia dan teknologi. Pada masa yang sama kami akan menggandakan perniagaan sedia ada dan meningkatkan kualiti aset untuk menyampaikan prestasi yang lebih baik dan membiayai perjalanan kami.

“Pelaksanaan SP M25+ akan bersandarkan lima teras strategik utama terutamanya mempergiatkan tumpuan pelanggan, mempercepatkan pendigitalan dan pemodenan teknologi, me­ngukuhkan kehadiran perniagaan Maybank di seluruh rantau ini, serta memacu kedudukan kepimpinan kami dalam agenda kemapanan dan menuntut ke­pimpinan global kami dalam Perbankan Islam,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa berkata, 2022 sememangnya tahun yang mencabar walaupun Maybank terus maju dalam mengembangkan asas pelanggannya dengan menguntungkan, sambil mengekalkan pertumbuhan keseluruhan yang baik yang terbukti dalam peningkatan dalam keputusan suku keempatnya.

Katanya, Maybank akan terus kekal fokus untuk menyampaikan pengalaman terbaik kepada pelanggannya dan pada masa yang sama memenuhi cita-cita dengan membina hubungan yang dipercayai dan bermakna dengan pemegang berkepentingan.

“Kami ingin terus mencipta masa depan yang berdaya maju untuk semua, dengan menanam amalan kemapanan yang kukuh merentasi semua operasi kami demi memacu perubahan positif yang disokong oleh misi Menginsankan Perkhidmatan Kewangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN