PETALING JAYA: Matrix Concepts Holdings Berhad (Matrix Concepts) mencatatkan untung selepas cukai (PAT) sebanyak RM53.6 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2023 berakhir 31 Disember 2022, 9.1 peratus lebih rendah berbanding RM59.1 juta yang dilaporkan pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Menurut syarikat itu, untung selepas cukai yang menyusut tersebut disebabkan oleh pelbagai perkara termasuk sumbangan margin kasar yang lebih rendah daripada projek Kuala Lumpur dan Australia.
Bagaimanapun, Matrix Concepts merekodkan pertumbuhan hasil sebanyak 56.1 peratus kepada RM363.8 juta pada suku sama daripada RM233.9 juta tahun sebelumnya, dipacu oleh projek The Chambers, Kuala Lumpur dan M. Greenvale, Australia yang baru siap.
Keuntungan kasar Kumpulan pada suku tersebut meningkat 10.7 peratus kepada RM150.7 juta berbanding RM136.2 juta yang sebelumnya, didorong oleh hasil yang lebih tinggi.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama pula, Kumpulan mencatatkan pertumbuhan hasil sebanyak 28.2 peratus kepada RM815.4 juta daripada RM636 juta, manakala keuntungan selepas cukai meningkat 6.9 peratus kepada RM149.5 juta daripada RM140.0 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
“Prestasi yang lebih baik itu adalah selaras dengan perolehan hasil daripada penyiapan projek Kuala Lumpur dan Australia dan peningkatan sumbangan daripada pembangunan di Malaysia apabila isu kekurangan buruh beransur reda,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, jualan hartanah baharu kekal berdaya tahan pada RM340.3 juta pada suku ketiga daripada RM356.7 juta pada suku sebelumnya, berikutan permintaan yang sihat untuk pelancaran di Sendayan Developments di Seremban.
Tambahnya, jualan hartanah baharu suku ketiga 2023 tidak termasuk RM65.1 juta sumbangan selepas penyiapan projek M. Greenvale, yang diiktiraf sepenuhnya sebagai hasil sejajar dengan piawaian perakaunan Australia.
Pengerusi Matrix Concepts, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin berkata, prestasi positif syarikat pada suku ketiga menggambarkan daya tahannya dalam menguruskan cabaran yang dihadapi dalam sektor hartanah.
“Ini diserlahkan lagi dengan sambutan yang berterusan untuk rumah mampu milik premium kami yang berpatutan di Sendayan Developments dan kami juga mendapat manfaat daripada hasil strategi kepelbagaian portfolio melalui sumbangan daripada projek Lembah Klang dan Australia.
“Dengan keadaan pasaran yang bertambah baik dan pelonggaran secara beransur-ansur dalam isu kekurangan buruh, kami yakin dapat mencapai sasaran jualan tahunan kami sebanyak RM1.2 bilion untuk tahun kewangan 2023.
“Kami juga menjangkakan pemulihan ketara dalam hasil dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang,” ujarnya. – UTUSAN










