Malaysia tidak mungkin alami kemelesetan ekonomi

Malaysia tidak mungkin alami kemelesetan ekonomi – Gabenor BNM

EKONOMI negara dijangka terus alami pertumbuhan pada tahun ini. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak akan terjerumus ke dalam kemelesetan pada tahun ini memandangkan ekonomi telah mencatatkan perkembangan yang sangat positif, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, Malaysia tidak mungkin mengalami kemelesetan kerana permintaan dan perbelanjaan dalam negeri yang mampan akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

“Perkara penting yang ingin saya tekankan ialah kita melihat peningkatan berterusan dalam pasaran pekerjaan dan kita akan mendapat manfaat daripada kesan positif daripada pembukaan semula China

“Selain itu, pelaburan swasta dan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) yang tinggi sekali gus meletakkan Malaysia di landasan yang baik untuk mencatatkan pertumbuhan.

“Sektor pelancongan juga akan bertambah baik. Kami menjangka akan melihat pertumbuhan berbentuk `V’ dalam sektor itu yang juga akan membantu menyokong pertumbuhan negara.

“Semua faktor yang disebutkan itu adalah lebih daripada cukup untuk mengimbangi kesederhanaan dalam eksport yang akan mencetuskan pertumbuhan global yang lebih perlahan,” katanya dalam sidang Prestasi Ekonomi Suku Keempat Tahun 2022 di Sasana Kijang BNM, semalam.

Ujarnya, BNM menjangkakan pertumbuhan akan berterusan pada 2023, tetapi pada kadar yang lebih sederhana disebabkan oleh permintaan luar yang lebih perlahan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, permintaan domestik akan menjadi kunci kepada prestasi pertumbuhan Malaysia pada 2023.

“Ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada kadar yang lebih sederhana di tengah-tengah persekitaran luaran yang mencabar.

“Permintaan dalam negeri akan terus memacu pertumbuhan, disokong oleh pemulihan berterusan dalam pasaran buruh dan merealisasikan projek pelaburan berbilang tahun,” katanya.

Menurut Nor Shamsiah, sektor perkhidmatan dan pembuatan juga akan terus menyokong pertumbuhan.

Beliau berkata, imbangan risiko kekal condong ke arah bawah, terutamanya daripada pertumbuhan global yang lebih lemah, keadaan kewangan yang lebih ketat, peningkatan semula konflik geopolitik dan gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN