Mahu tunai hasrat keluarga perkasa industri batik

Mahu tunai hasrat keluarga perkasa industri batik

WAN Mohd. Hafiz Wan Mohd. Ariffin bersama sebahagian daripada koleksi batik yang dipamerkan dan dijual di Noor Arfa Craft Complex (NACC), Chendering, Kuala Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI sebalik raut wajah tenang Wan Mohd. Hafiz Wan Mohd. Ariffin yang merupakan Penga­rah Urusan Noor Arfa Hol­dings Sdn. Bhd. (Noor Arfa), tersimpan tanggungjawab besar yang diamanahkan ibu bapa­nya mahu melihat beliau terus memperkasakan industri batik yang menjadi lambang identiti bangsa Melayu.

Wan Mohd. Hafiz, 39, berkata, ibu bapanya, Wan Mohd. Ariffin Wan Long, 67, dan Noor Hijerah Hanafiah, 66, mengharapkan beliau dapat mengangkat industri batik sehingga ke persada antarabangsa untuk membuka mata masyarakat yang selama ini melebalkan industri itu sekadar diusahakan di belakang rumah sahaja.

Pada masa sama, menurutnya, beliau yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik itu juga diletakkan harapan tinggi oleh keluarganya untuk memajukan lagi jenama Noor Arfa pada masa hadapan.

Kata beliau, ibu bapanya mula mengasaskan Noor Arfa sejak 1980 yang memulakan industri batik secara kecil-kecilan dengan produk awal iaitu kaftan batik, sebelum bertukar kepada rekaan lebih kontemporari.

Katanya, perusahan itu dimu­lakan di rumah sewa ibu bapanya di Kampung Tanjung, Kuala Terengganu dan di pe­ringkat awal, produk Noor Arfa dijaja sendiri.

“Atas usaha gigih ayah dan ibu saya, mereka kini mampu memiliki sebuah kilang batik di Kawasan Perindustrian Chendering, Kuala Terengganu dan sebuah kompleks Batik yang diberi nama, Noor Arfa Craft Complex (NACC) berdekatan kilang batik tersebut,” katanya ketika ditemui di NACC, Chendering, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Wan Mohd. Ha­fiz memberitahu, pada 2009, beliau merupakan Pengurus Cawangan Noor Arfa di Me­laka Batik House, Melaka sebelum dilantik sebagai Pengarah Kewangan pada 2015.

Katanya, beliau kemudian mendapat kepercayaan keluarga untuk dilantik sebagai Pengarah Urusan pada 2018.

Menurutnya, selepas dilantik sebagai Pengarah Urusan Noor Arfa, beliau memberi tumpuan kepada perniagaan secara digital menerusi program ‘Batikpreneur’ yang dimulakan pada 2019 untuk memperkembangkan lagi jualan mengikut peredaran zaman.

“Ketika negara dilanda Co­vid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 2020 hingga 2021, perniagaan saya turut terjejas.

“Bagaimanapun, pada masa itu, Noor Arfa masih dapat meneruskan perniagaan menerusi platform digitalisasi walaupun pre­mis di cawangan-ca­wangan terpaksa ditutup,” ujarnya.

WAN Mohd. Hafiz Wan Mohd. Ariffin menunjukkan sebahagian daripada koleksi batik yang dipamerkan dan dijual di Noor Arfa Craft Complex (NACC), Chendering, Kuala Terengganu.

Beliau berkata, pada 2022, perniagaannya semakin pulih selepas Malaysia memasuki fasa peralihan ke endamik Covid-19.

Pada masa ini, tambah­nya, selain pusat jualan utama di NACC di Chendering, Noor Arfa masih mempunyai cawangan di Arked Mara, Kuala Terengganu dan Busana Mara di Kuala Lumpur.

Jelasnya, pada masa ini, Noor Arfa mempunyai seramai 4,000 reseller di seluruh negara yang memasarkan produk secara dalam talian.

Kata Wan Mohd. Hafiz, syarikatnya juga memperoleh pendapatan yang memberansangkan pada tahun lalu dengan hasil jualan dianggarkan mencecah RM7 juta.

“Pada tahun ini pula, Noor Arfa menyasarkan jualan seba­nyak RM20 juta dengan me­lantik lebih ramai reseller,” katanya.

Wan Mohd. Hafiz menambah, Noor Arfa juga melantik pelakon, pengacara dan penyanyi, Zara Zya sebagai duta Noor Arfa bagi meningkatkan promosi produk Noor Arfa.

Katanya, syarikat juga akan melancarkan produk baju kurung terbaharu, Zara Zya Collection di Kuala Lumpur pada 18 Februari ini.

“Pelancaran produk baju kurung siap jahit itu adalah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat mengenai produk-produk keluaran Noor Arfa boleh melayari laman web di noorarfa.com, Facebook: Noor Arfa dan Instagram: Noor Arfa Official. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN