M40 mahu pelepasan cukai

M40 mahu pelepasan cukai

KERAJAAN akan membentangkan Bajet 2023 pada 24 Februari ini. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Golongan M40 mahu kerajaan memberikan pelepasan dan pengurangan cukai yang sewajarnya dalam Bajet 2023 bagi membantu mereka berdepan tekanan kewangan dan kenaikan kos sara hidup.

Kakitangan swasta, Riduan Ismail, 35, berkata, bantuan yang diterima golongan M40 dalam belanjawan negara beberapa tahun kebelakangan disifatkan sebagai kurang adil memandang­kan kerajaan lebih memberi tumpuan kepada golongan B40 dan miskin tegar.

RIDUAN ISMAIL

Katanya, golongan M40 juga turut berhadapan pelbagai cabaran disebabkan kenaikan kos sara hidup dan faedah pinjaman terutamanya selepas Kadar Dasar Semalaman (OPR) dinaikkan.

“Pengecualian dan pengura­ngan cukai yang diberikan pula tidak begitu banyak seperti sebelum ini sedangkan kami terhimpit dengan perbelanjaan bulanan termasuk membayar pinjaman.

“Saya berharap kerajaan tidak meminggirkan kami, meman­dangkan kami juga membayar cukai tetapi bila berhadapan kesukaran disebabkan kenaikan pelbagai kos, kami dibiarkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pendapat sama turut diutarakan kaunselor, Irwan Junaidy Ramli, 43, di mana beliau berharap agar kerajaan memberi pelepasan cukai yang bersesuaian dengan M40 dalam Bajet 2023 nanti.

IRWAN JUNAIDY

Katanya, umum mengetahui ada dalam kalangan M40 mempunyai anak yang ramai dan mereka juga terkesan dengan kenaikan harga barang serta pembiayaan disebabkan inflasi dan kenaikan OPR.

“Jadi pelepasan cukai boleh dinaikan sedikit kadarnya bagi ibu bapa dalam kalangan M40 dalam meringankan beban mereka menguruskan perbelanjaan anak-anak.

“Bagi golongan M40 yang mempunyai ibu bapa juga harus diberikan pelepasan cukai yang sepatutnya memandangkan mereka menjaga kedua orang tua yang rata-rata memerlukan rawatan kesihatan selain daripada klinik dan hospital kerajaan,” katanya.

Utusan Malaysia Isnin lalu melaporkan tekanan yang dihadapi oleh golongan M40 ekoran kenaikan kos sara hidup dan inflasi, yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan dalam pembenta­ngan Bajet 2023, 24 Februari ini.

Ia ekoran nasib golongan M40 dilihat tidak ubah seperti ‘sandwich’ apabila ada antara mereka ditekan dari atas dan bawah dise­babkan berhadapan pelbagai tekanan dalam aspek kewangan dan kenaikan kos sara hidup.

Bagi kakitangan swasta, Nur Farieza Diana Rooslan, 31, adalah wajar sekiranya Bajet 2023 lebih memberi tumpuan kepada pembangunan dan kestabilan ekonomi dalam jangka masa pendek dan panjang bagi memastikan kepentingan semua kategori pengkelasan pendapatan lebih terjamin dan terbela terutama­nya golongan B40.

NUR FARIEZA DIANA ROOSLAN

Ujar beliau, walaupun B40 diberi penekanan yang lebih, kerajaan juga perlu memastikan golongan M40 tidak terus dihimpit dengan tekanan kos sara hidup yang tinggi dan berasa terabai serta tidak dihargai, sedangkan mereka merupakan golongan yang menyumbang pendapatan kepada kerajaan melalui potongan cukai.

“Walaupun B40 lebih diminta diberi penekanan, golongan M40 juga sewajarnya tidak dipukul rata apatah lagi mereka yang tinggal di kawasan bandar, di mana pendapatan M40 lebih terhimpit dengan bebanan kos hidup yang tinggi.

“Pengurangan cukai dalam bajet yang diumumkan kerajaan merupakan antara yang dinantikan kami sebagai M40 selain berharap ada insentif lain yang lebih baik daripada sebelum ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN