PETALING JAYA: Gemilang International Ltd berharap kerajaan dapat melanjutkan pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), duti import dan duti eksais sifar kepada kenderaan elektrik (EV) serta pengecas elektrik dan peralatan serta perisian yang berkaitan dalam Belanjawan 2023.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Pang Chong Yong berkata, bagaimanapun pihaknya tidak menggalakkan cukai dan bebas-cukai ke atas bas yang dibina sepenuhnya ekoran terdapat banyak pembuat badan bas di Malaysia yang boleh memasang bas elektrik.
“Oleh itu, ia adalah memadai apabila hanya casis bas elektrik dikenakan cukai dan dikecualikan duti kerana ini adalah untuk melindungi industri pembuatan tempatan. Di samping itu, kami juga berharap kerajaan memperkenalkan elaun cukai korporat kepada pengusaha bas,” katanya dalam kenyataan.
Syarikat pengeluar bas tersebut juga turut mencadangkan kerajaan untuk melanjutkan Insentif Teknologi Hijau yang meliputi Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) dan Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau (GITE).
“Kami juga meminta agar pihak bank untuk menurunkan kadar faedah dan melaksanakan pelan ansuran yang lebih panjang untuk sewa beli kenderaan elektrik (EV).
“Selain itu, kami menyeru agar kerajaan menawarkan subsidi kepada bas sekolah yang lebih bersih, senyap dan selamat untuk kanak-kanak,” katanya.

Menurut Chong Yong, sebagai salah sebuah perintis industri EV, Gemilang ingin memainkan peranannya dalam menyumbang idea bagi menjayakan agenda kerajaan untuk membangunkan Industri EV.
“Gemilang berharap Kerajaan akan menerima pakai langkah-langkah ini untuk meringankan beban pengusaha bas tempatan dan akhirnya membantu ke arah pertumbuhan industri EV dan bas di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Pertama Digital Berhad berharap kerajaan mengumumkan pelaksanaan dasar yang menggalakan pengurangan kos sara hidup rakyat dalam pembentangan Belanjawan 2023 Jumaat ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Saify Akhtar berkata kerajaan boleh menyediakan insentif cukai kepada syarikat yang menawarkan produk dan perkhidmatan mampu milik kepada rakyat disamping memberi bantuan kewangan.
Selain itu, beliau juga berharap agar kerajaan menyediakan insentif untuk pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), khususnya dalam sektor teknologi.
“Ini termasuk menyediakan bantuan kewangan, menggalakkan pembangunan inkubator dan pemecut teknologi, dan memudahkan akses kepada pembiayaan dan sumber.
“Kami juga mencadangkan agar kerajaan melabur dalam pembangunan infrastruktur digital, khususnya di kawasan luar bandar termasuk memperluaskan akses kepada internet berkelajuan tinggi, mempromosikan pembangunan platform e-dagang, dan melabur dalam sistem pembayaran digital,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Datuk Mahmud Abbas pula berharap, kerajaan menurunkan Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) bagi membolehkan pemilik kediaman menjual rumah tanpa perlu menunggu tempoh tertentu untuk tidak dikenakan cukai terlalu tinggi dalam Belanjawan 2023.
Beliau turut berharap kerajaan membantu pemaju perumahan dan pembeli dengan memastikan kenaikan kadar faedah pinjaman tidak melebihi kemampuan semua pihak.
“Saya tahu kenaikan kadar faedah ini diluar jangkaan kita disebabkan beberapa faktor seperti peperangan, tetapi jika ia terus naik kita bimbang bukan sahaja rakyat terbeban malah pemaju seperti PKNS juga terbeban.
“Jadi harapan saya pada pembentangan Belanjawan 2023 nanti adalah agar kadar faedah pinjaman tidak naik, tapi kalau naik juga biarlah sekadar yang mampu dan bukan mendadak seperti beberapa buah negara luar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Mahmud berkata, apabila berlaku kenaikan kadar faedah orang ramai mengambil pilihan untuk menangguh pembelian rumah dan situasi berkenaan memberi kesan terhadap pemaju.
Katanya, pada masa yang sama pemaju juga perlu membayar pinjaman projek yang dibuat selain turut menanggung kenaikan kadar faedah yang dikenakan.
“Bila kadar faedah naik, sudah pasti jumlah hutang akan dibayar juga naik dan kita kena bayar lebih dan tahun lalu sahaja PKN membayar kadar faedah sebanyak RM75 juta,” katanya. – UTUSAN










