KULIM: Kumpulan EB melabur kira-kira RM500 juta lagi bagi meningkatkan kapasiti pembuatan dan pengeluaran makanan sejuk beku dipelopori syarikat itu yang kini sudah mencecah 210,000 tan penghasilan produk bagi tempoh setahun.
Antaranya membelanjakan sebanyak RM40 juta bagi membina bangunan lima tingkat sebagai ibu pejabat baharu Kumpulan EB yang mampu menampung sehingga 600 pekerja di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EB, Chris Ooi berkata, pihaknya turut melabur sebanyak RM250 juta di KHTP bagi memperoleh tanah seluas 871,200 kaki persegi dan RM210 juta lagi untuk meningkatkan pembuatan, teknologi dan mesin bagi penghasilan produk.
“Tujuan pembangunan ibu pejabat ini adalah untuk menyediakan tempat dan suasana kerja yang selesa kepada pekerja dan sebagai tarikan untuk menarik generasi muda menyertai Kumpulan EB.
“Reka bentuk dalaman ibu pejabat Kumpulan EB ini diilhamkan daripada ibu pejabat Google. Setiap aras menggambarkan bentuk dan gaya yang berbeza dengan kepelbagaian budaya selari dengan misi dan visi kami,” katanya pada majlis pelancaran ibu pejabat baharu Kumpulan EB di KHTP, semalam.
Perasmian dilakukan oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim (MPKK), Dr. Nadzman Mustaffa dan turut dihadiri Pengerusi Kumpulan EB, Ang Chin Hooi.
Kumpulan EB yang kini mengeksport produk ke 32 negara termasuk Australia, Thailand, Taiwan dan Singapura, memiliki tiga anak syarikat iaitu Everbest Soya Bean Products Sdn. Bhd., EB Frozen Food Sdn. Bhd. dan Hoshay Food Sdn. Bhd. yang mengeluarkan pelbagai produk.
Tambah Chris, ibu pejabat baharu itu juga mempunyai kantin yang boleh menampung 150 pekerja dalam satu masa selain menyediakan 15 set peralatan gimnasium serta dek Yoga demi memastikan pekerja menerapkan gaya hidup yang lebih sihat.
“Lebih menarik, bangunan ini dilengkapi bilik karaoke dan game room untuk pekerja merehatkan minda dan fizikal setelah penat bekerja. Kami juga menyediakan bilik menyusu untuk memberi keselesaan dan privasi kepada para ibu (yang menyusukan anak) ketika di pejabat,” katanya.
Dalam pada itu, EB menggunakan teknologi terbaharu iaitu Individual Quick Freezing (IQF) untuk menghasilkan produk makanan sejuk beku yang lebih baik dan sebagai pilihan makanan kepada pengguna. – UTUSAN