PETALING JAYA: Syarikat Unicorn dari Indonesia, Kopi Kenangan menyasarkan untuk membuka sehingga 50 cawangan baharu di Malaysia menjelang akhir tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersamanya, Edward Tirtanata berkata, syarikat yang menggunakan model kopi ‘grab-and-go’ tersebut dijangka melabur kira-kira kira-kira AS$5 juta (RM21.54 juta) untuk tujuan tersebut.
Katanya, Kopi Kenangan kini sudah mempunyai lima buah cawangan di Suria KLCC, MyTown Cheras, Pavilion, NU Sentral dan Sunway Pyramid.
““Respon yang kami peroleh di Malaysia sangat positif, malahan lebih positif dari Indonesia yang mana pada hari kedua pembukaan cawangan di KLCC, kami berjaya menjual sebanyak 1,440 cawan kopi. Itu adalah rekod yang agak baik bagi pembukaan kedai kopi baharu.
“Memandangkan peralihan kepada selepas pandemik dan kembalinya kedai-kedai ‘fizikal’, strategik kami adalah untuk membuka kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan seperti hub pengangkutan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pada Seminar Pemasaran Keusahawanan: Bagaimana Mengembangkan Perniagaan Selepas Pandemik di Hotel Intercontinental Kuala Lumpur di sini.
Sementara itu, Edward berkata, keupayaan syarikat untuk beradaptasi dengan situasi dan masalah menjadi kunci kejayaan kepada Kopi Kenangan berkembang maju semasa dan selepas pandemik.
Beliau berkata, syarikat memulakan 2020 dengan 226 cawangan di Indonesia dan kini mempunyai 827 cawangan di sana, peningkatan kira-kira empat kali ganda.
“Strategi syarikat adalah pemilihan lokasi yang mana cawangan baharu dibuka sekitar kawasan kediaman berbanding pusat membeli-belah yang ditutup semasa pandemik.
“Kami adaptasi dengan masalah dan menukar strategi dengan meletakkan kedai kami di mana yang mana terdapat pelanggan. Oleh itu, kami berjaya mengharungi pandemik tanpa dengan baik,” ujarnya. – UTUSAN










