PETALING JAYA: Kerjaya Prospek Group Bhd. mengumumkan bahawa anak syarikat miliknya, Kerjaya Bina BMK Sdn. Bhd. telah menerima surat anugerah (LOA) daripada BBCC Development Sdn. Bhd. melibatkan kontrak reka bentuk dan binaan bernilai RM135.4 juta.
Kontrak tersebut untuk bangunan utama bagi projek pembangunan yang dicadangkan di Jalan Hang Tuah/Jalan Pudu di Kuala Lumpur yang dijangka bermula pada 1 Mac ini.
BBC merupakan syarikat usaha sama antara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), UDA Holdings Bhd. dan Eco World Development Group Bhd.
“Ia termasuk kontrak reka bentuk dan binaan kerja-kerja bangunan utama untuk blok pangsapuri perkhidmatan 31 tingkat, tingkat bawah tanah dan podium, terdiri daripada tempat letak kereta tujuh tingkat, lobi utama dan dewan serbaguna,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Kerjaya Prospek, Tee Eng Tiong berkata, kontrak baharu itu bukti kepada rekod prestasi Kumpulan yang terbukti dan keupayaan untuk menjamin dan menyampaikan kontrak secara konsisten kepada pelanggan, walaupun dalam persekitaran makro yang mencabar.
“LOA daripada BBCC Development mewakili kontrak pertama Kumpulan untuk tahun ini, buku pesanan tertunggak kami diperkukuh kepada RM4.3 bilion yang akan memberikan Kumpulan keterlihatan pendapatan untuk lima tahun akan datang,” katanya.
Saham Kerjaya Prospek tidak berubah pada RM1.21 sesaham semasa berita ini ditulis dengan permodalan pasarannya berjumlah RM1.53 bilion. – UTUSAN










