KDNK 2022 tertinggi dalam tempoh 22 tahun

KDNK 2022 tertinggi dalam tempoh 22 tahun

BANK Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus pada mesyuarat esok. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan tahunan tertinggi dalam tempoh 22 tahun sejak 2000 apabila berkembang sebanyak 8.7 peratus pada 2022 berbanding 3.1 peratus tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, prestasi memberangsangkan itu disumbang oleh pertumbuhan positif bagi ke semua sektor pada tahun lalu.

“Sektor perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan dua digit iaitu 10.9 peratus pada tahun 2022 diikuti oleh sektor pembuatan sebanyak 8.1 peratus diikuti sektor perlombongan dan pengkuarian pada 3.4 peratus.

“Sektor pembinaan dan pertanian kembali pulih pada tahun 2022 dengan pertumbuhan masing-masing sebanyak lima peratus dan 0.1 peratus selepas kedua-dua sektor ini mencatatkan penurunan selama dua tahun berturut-turut,” katanya dalam sidang akhbar Prestasi Ekonomi Suku Keempat Tahun 2022 di sini, semalam.

Tambahnya, dari segi permintaan, hampir semua komponen perbelanjaan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatatkan pertumbuhan positif terutamanya perbelanjaan penggunaan akhir swasta dan pembentukan modal tetap kasar.

“Pada 2022, KDNK Malaysia pada harga semasa berjumlah RM1.8 trilion manakala pada harga malar berjumlah RM1.5 trilion. Oleh itu, pendapatan negara kasar per kapita menokok kepada RM52,819 daripada RM46,163 tahun sebelumnya.

“Bagi keseluruhan tahun 2022, ekonomi Malaysia berkembang pada 8.7 peratus dan pada terma pelarasan musim suku tahun-ke-suku tahun, KDNK merosot 2.6 peratus berbanding pertumbuhan 1.9 peratus pada suku ketiga 2022,” katanya.

Dalam pada itu, Bank Negara Malaysia (BNM) memaklumkan, ekonomi Malaysia berkembang lebih perlahan pada suku keempat 2022 sebanyak tujuh peratus berbanding suku ketiga tahun sama sebanyak 14.2 peratus

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, ia berikutan sokongan daripada langkah-langkah rangsangan dan kesan asas rendah yang berkurang.

Menurut beliau, aktiviti sektor swasta kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan, disokong oleh penggunaan dan pelaburan swasta di mana penggunaan swasta dijangka terus meningkat didorong terutamanya oleh keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik.

“Prestasi suku keempat 2022 dijangka akan memberikan sokongan kepada prestasi ekonomi Malaysia pada suku pertama tahun ini dengan pertumbuhan suku pertama 2023 dijangka akan lebih baik daripada suku keempat 2022,” katanya.
Nor Shamsiah turut menegaskan, Malaysia tidak mungkin mengalami kemelesetan tahun ini kerana permintaan dan perbelanjaan dalam negeri yang mampan akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

“Perkara penting yang ingin saya tekankan ialah kita melihat peningkatan berterusan dalam pasaran pekerjaan dan kita akan mendapat manfaat daripada kesan positif daripada pembukaan semula China

“Selain itu, pelaburan swasta dan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) yang tinggi sekali gus meletakkan Malaysia di landasan yang baik untuk mencatatkan pertumbuhan.

“Sektor pelancongan juga akan bertambah baik. Kami menjangka akan melihat pertumbuhan berbentuk `V’ dalam sektor itu yang juga akan membantu menyokong pertumbuhan negara.

“Semua faktor yang disebutkan itu adalah lebih daripada cukup untuk mengimbangi kesederhanaan dalam eksport yang akan mencetuskan pertumbuhan global yang lebih perlahan,” katanya.

Ujarnya, BNM menjangkakan pertumbuhan akan berterusan pada 2023, tetapi pada kadar yang lebih sederhana disebabkan oleh permintaan luar yang lebih perlahan.

Beliau berkata, permintaan domestik akan menjadi kunci kepada prestasi pertumbuhan Malaysia pada 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN