Jimatkan kos, ganti menu udang dengan ayam

Jimatkan kos, syarikat penerbangan ganti menu udang dengan ayam

Penggantian menu dilakukan secara rutin bagi membantu syarikat penerbangan menjimatkan kos. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Singapore Airport Terminal Services (SATS Ltd), te­lah menggantikan udang dengan ayam dalam menu penerbangan bagi membantu penjimatan kos ketika industri penerbangan kembali pulih daripada pandemik Covid-19.

SATS Ltd, syarikat katering penerbangan antara terbesar di dunia, menyediakan pelbagai perkhidmatan bagi pihak ketiga termasuk katering kepada syarikat penerbangan.

“Udang yang dahulunya boleh didapati dalam menu penerba­ngan tertentu secara rutin digantikan dengan ayam kerana daging ayam lebih murah,” Kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SATS, Kerry Mok.

Mok berkata, syarikat penerbangan kadangkala “memutuskan untuk mengurangkan jumlah protein bagi mengekalkan harga, atau mencari sumber lain.”

“Jika udang terlalu mahal kami tukar dengan ayam,” katanya menjawab soalan penganalisis dalam sesi webinar mengenai fiskal syarikat itu, lapor Bloomberg.

Isnin lalu, SATS berkata, pendapatan suku tahunannya susut kepada S$0.5 juta (AS$375,000) daripada S$5.1 juta tahun sebelumnya.

Saham syarikat itu turut merosot sebanyak 8 peratus pada hari berikutnya, sebelum ditutup turun 4.7 peratus, kerugian terbesar dalam tempoh tiga bulan.

Hasil bagaimanapun me­ngalami peningkatan daripada suku sebelumnya, selepas SATS merekodkan kerugian lebih kecil sebanyak S$9.9 juta.

SATS menyediakan 49.1 juta hidangan dalam sembilan bulan pertama tahun fiskal 2023, pe­ningkatan sebanyak 25 peratus daripada tahun sebelumnya.

Sektor penerbangan global dilaporkan dalam mod pemulihan berperingkat selepas pandemik apabila negara-negara membuka semula perjalanan udara, dengan China baru-baru ini menamatkan sekatan ketat bagi mengawal Covid.

Kerugian syarikat penerba­ngan dijangka berjumlah AS$6.9 bilion pada 2022, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa, berbanding sebanyak AS$42 bilion pada 2021 dan AS$138 bilion, 2020. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN