KUALA LUMPUR: IKEA Malaysia mengunjurkan pertumbuhan satu digit tahun ini setelah berkembang kukuh sebanyak 35 peratus pada 2022.
Pengarah Runcit IKEA Malaysia, Malcolm Pruys berkata, pertumbuhan yang lebih sederhana tersebut sejajar dengan keadaan pasaran yang perlahan ketika ini.
“Tahun lalu adalah tahun luar biasa setelah cawangan kami terpaksa ditutup untuk jangka masa yang panjang akibat pandemik.
“Kalau boleh kami ingin melihat pertumbuhan seperti tahun lalu, namun saya gembira jika kami dapat mencapai pertumbuhan sebanyak satu digit sejajar dengan keadaan pasaran.
“Ini kerana, kos sara hidup semakin tinggi di Malaysia berbanding sebelum ini termasuk krisis makanan, tenaga dan sebagainya,” katanya pada sesi bertemu media di IKEA Cheras di sini, semalam.
Ditanya sama ada IKEA Malaysia akan menaikkan harga produknya disebabkan peningkatan kos bahan mentah, beliau berkata, sebarang kenaikan hanya akan dibuat jika syarikat sudah tidak mampu untuk menjualnya pada harga lama.
“Saya rasa kami melakukan perkara yang baik dalam dua tahun ini untuk menyerap peningkatan kos barang tetapi setiap perniagaan pasti ada batasan.
“Matlamat kami adalah untuk memastikan produk kami seboleh-bolehnya mampu milik. Kami tidak akan menaikkan harga atau pun meraih keuntungan dengan memberi alasan kenaikan harga barang mentah ketika ini,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata, fokus syarikat pada tahun ini adalah untuk membuka lebih banyak pusat pengambilan atau çollection point bagi menjadikan jenama tersebut lebih mudah diakses oleh masyarakat.
Menurutnya, antara pusat pengambilan baharu yang akan dibuka adalah di Melaka pada 1 Mac depan. – UTUSAN










