PETALING JAYA: Hong Seng Consolidated Berhad (Hong Seng) menyasarkan untuk memperkasa Malaysia menjadi negara digital melalui pemerolehan 51 peratus kepentingan ekuiti dalam Innov8tif Holdings Sdn. Bhd. (Innov8tif Holdings) dengan pertimbangan berjumlah RM30.86 juta.
Innov8tif Holdings kini memiliki Innov8tif Solutions Sdn. Bhd. (Innov8tif Solutions) dan Xendity Sdn. Bhd. (Xendity) (secara kolektif dirujuk sebagai Innovative Holdings Group).
Innovative Holdings Group umumnya terlibat dalam perkhidmatan berkaitan orientasi digital dan pengesahan identiti (IDV) serta perniagaan yang mengkhusus dalam teknologi IDV untuk menyokong proses e-KYC dan anti-penipuan, automasi proses onboarding pelanggan, dan penyelesaian pengesahan biometrik mudah alih dengan kehadiran dalam pasaran Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina dan Kemboja.
Segmen pelanggan utama yang disediakan oleh Innov8tif Holdings Group adalah telekomunikasi, perbankan, perkhidmatan kewangan, insurans, firma pelaburan dan kerajaan.
Pengarah Eksekutif Hong Seng, Lester Chin berkata, ia satu langkah sinergi untuk menyatukan kedua-dua Innov8tif Solutions Group dan Xendity.
Kata beliau, sebelum ini, syarikat mempunyai operasi sendiri dan pangkalan pelanggan yang memberi perkhidmatan kepada industri berbeza secara selari.
“Walau bagaimanapun, Innovative Holdings kini telah menggabungkan dan mempertingkatkan keupayaan, sumber dan pengalaman kedua-dua syarikat yang akan meningkatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam tawaran perkhidmatannya dengan sokongan daripada rakan kongsi strategik kami.
“Akhirnya, kemajuan dalam R&D akan membolehkan Innov8tif Holdings melancarkan suite digital universal atau suite e-Nation yang dikenali sebagai penyelesaian Akses Digital Seluruh Negara (DNA) yang mampu memperkasakan pendigitalan Malaysia seperti mana-mana negara maju yang lain.
“Penyelesaian DNA yang terpakai di seluruh industri akan memudahkan penukaran dan pengesahan ID digital yang lancar dengan menghubungkan sektor awam dan swasta bersama-sama ke arah negara digital,” katanya dalam kenyataan.
Lester berkata, dengan adanya DNA, semua proses pengesahan merentas agensi dan jabatan seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Bank Negara Malaysia (BNM), bank digital, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan perkhidmatan lain akan dipermudahkan kerana semuanya akan diperkemaskan.
Kata beliau, ia adalah selaras dengan inisiatif MyDIGITAL yang mencerminkan aspirasi kerajaan untuk mengubah Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi yang memberi tumpuan kepada pendigitalan dan merupakan perintis serantau dalam ekonomi digital.
Laporan Kemajuan MyDigital 2021 baru-baru ini menekankan bahawa Malaysia berada dalam landasan untuk mencapai sumbangan ekonomi digital kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekurang-kurangnya 25.5 peratus menjelang 2025.
Laporan itu menambah bahawa, pasaran digital di Malaysia berkembang sebanyak 47 peratus kepada AS$21 bilion (RM87.8 bilion) daripada AS$14 bilion (RM58.5 bilion) sebelumnya, didorong oleh pertumbuhan dalam e-dagang pada 2021.
Sementara itu, pasaran IDV global bernilai AS$8.41 bilion pada 2021 dan dijangka mencecah AS$26.34 bilion menjelang 2029, mencatatkan Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) sebanyak 15.34 peratus dalam tempoh kajian 2022-2029, menurut laporan oleh Data Bridge Market Research. – UTUSAN










