PETALING JAYA: Harga eksport Malaysia susut 1.3 peratus kepada 142.7 mata pada Januari 2023 berbanding 144.5 mata bulan sebelumnya, lapor Jabatan Perangkaan (DOSM).
Indeks nilai seunit import juga turut mencatatkan penyusutan 1.1 peratus daripada 129.5 mata kepada 128 mata.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, indeks nilai seunit eksport juga mengalami kejatuhan 1.3 peratus pada Januari 2023 berbanding bulan sebelumnya.
Katanya ia disumbangkan oleh penurunan indeks minyak galian sebanyak (-5.8 peratus), bahan kimia (-0.3 peratus) dan pelbagai barang keluaran kilang (-0.2 peratus).
“Di samping itu, indeks volum eksport merosot 13.2 peratus pada bulan yang sama, selaras dengan kejatuhan indeks minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran sebanyak (-40.4 peratus), pelbagai barang keluaran kilang (-21.4 peratus) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-13.8 peratus).
“Indeks volum eksport pelarasan bermusim menurun 6.9 peratus daripada 161.1 mata kepada 150.1 mata. Berdasarkan perbandingan tahunan, indeks nilai seunit eksport berkembang 7.6 peratus manakala indeks volum menyusut 5.6 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Mohd, Uzir, kejatuhan indeks nilai seunit import sebanyak 1.1 peratus disebabkan kejatuhan indeks minyak galian (-6.8 peratus), bahan kimia (-0.4 peratus) dan pelbagai barang keluaran kilang (-0.3 peratus).
Jelasnya, indeks volum import turut merosot 7.4 peratus pada bulan yang sama berbanding bulan sebelum, disumbangkan oleh penurunan indeks pelbagai barang keluaran kilang (-16.8 peratus), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-7.5 peratus) dan minyak galian (-6.3 peratus).
“Indeks volum import pelarasan bermusim mengalami kemerosotan 5.4 peratus daripada 175.4 mata kepada 165.9 mata.
“Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan indeks nilai seunit import berkembang 5.3 peratus manakala indeks volum menyusut 2.6 peratus,” katanya.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) turut melaporkan terma perdagangan Malaysia kembali menunjukkan prestasi negatif 0.1 peratus bulan ke bulan kepada 111.5 mata pada Januari 2023, didorong oleh kejatuhan indeks makanan (-0.14 peratus), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-0.6 peratus) dan minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (-0.08 peratus). – UTUSAN










