Giant Malaysia kini milik syarikat tempatan

Giant Malaysia kini milik syarikat tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: DFI Group (DFI) mengumumkan telah memeterai perjanjian dengan syarikat tempatan terkemuka, diketuai oleh ahli perniagaan dan usahawan tempatan, Datuk Andrew Lim, untuk memperoleh kesemua perniagaan makanan DFI di Malaysia, termasuk jenama ikonik Giant.

Peralihan itu dijangka selesai awal Mac 2023.

Katanya, Andrew mempunyai rekod prestasi yang luas dan dikenali dengan kejayaannya dalam kepimpinan runcit serta dikreditkan dengan sumbangan ketara kepada pertumbuhan dan transformasi landskap runcit di Malaysia.

“Beliau juga merupakan Timbalan Pengerusi Kumpulan SOGO Department Store Sdn. Bhd., serta Pengerusi Eksekutif Kumpulan GAMA yang memiliki dan mengendalikan jenama ikonik GAMA Supermarket & Departmental Store
di Pulau Pinang.

“DFI yakin pemilik tempatan berpengalaman seperti Datuk Lim akan memberi manfaat serta perubahan positif kepada pelanggan dan kakitangan Giant, Cold Storage dan Mercato.

“Perkembangan positif ini sudah pasti akan menjana pertumbuhan masa depan berdasarkan pengetahuan pasaran yang mendalam, pelaburan jenama dan kekuatan daya saing untuk membentuk landasan kukuh.,” jelas syarikat itu dalam kenyataan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut DFI, kesemua pekerja Giant, Cold Storage dan Mercato seramai 2,500 orang dikekalkan.

Sementara itu, Andrew berkata, pihaknya berterima kasih kepada DFI Retail Group kerana memberi kepercayaan serta amanah untuk memajukan lagi jenama runcit terkenal di Malaysia.

“Kami, bersama-sama dengan 2,500 rakan serta teman sekerja yang baharu ini akan berusaha sebaik mungkin untuk menambah nilai dan meningkatkan ekuiti jenama Cold Storage, TMC, Giant dan Mercato di Malaysia,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif DFI Retail Group Asia Tenggara, Chris Bush pula berkata, peralihan akan membolehkan DFI menumpukan perhatian eksklusif kepada pengembangan perniagaan Guardian di Malaysia.

Beliau gembira apabila dapat memastikan perolehan perniagaan makanan itu diberi kepada sebuah syarikat tempatan yang dihormati serta berjaya, dengan mengekalan kakitangan berdedikasi syarikat.

Katanya, langkah itu menyediakan peluang pertumbuhan kerjaya untuk kakitangan dan meningkatkan daya saing, perkhidmatan serta memberi nilai yang lebih besar untuk pelanggan di Malaysia.

“Kami mempunyai keyakinan penuh terhadap kejayaan masa depan perniagaan makanan di bawah kepimpinan baharu. Kami mendoakan yang terbaik kepada pemilik baharu serta semua rakan sekerja kami di masa hadapan,” katanya.

Menurut beliau, syarikat kekal komited terhadap perniagaan runcit di Malaysia dengan mempertajamkan fokus strategik kepada perniagaan kesihatan dan kecantikan yang kini berkembang pesat.

“DFI akan terus memiliki dan mengendalikan sepenuhnya kedai Guardian Health and Beauty yang menyandang tempat pertama dalam undian oleh pelanggan Malaysia pada 2022. DFI merancang pertumbuhan pesat Guardian Malaysia dengan
jangkaan penambahan rangkaian kedai (kini melebihi 500) serta penambahan ratusan perkerjaan dalam tempoh dua tahun ini,” katanya.

DFI ialah peruncit pan-Asia terkemuka. Pada 30 Jun 2022, DFI dan syarikat bersekutu serta usahasamanya mengendalikan lebih 10,300 cawangan dan menggaji kira-kira 220,000 orang. Kumpulan mempunyai jumlah jualan tahunan pada 2021 melebihi AS$27 bilion (RM119.82 bilion). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN