PETALING JAYA: FGV Holdings Berhad (FGV) meluaskan kehadirannya di rantau Asia Barat dan Afrika Utara (MENA) dengan pelancaran produk Barangan Pengguna Cepat Laris (FMCG), marjerin ADELA.
Majlis pelancaran produk diadakan di Gulfood 2023, iaitu pameran makanan terbesar dunia yang berlangsung dari 20 sehingga 24 Februari di Pusat Dagangan Dunia Dubai.
Pelancaran disempurnakan oleh Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin. Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Seri Suriani Ahmad.
FGV turut mempamerkan pelbagai produk berkualiti tinggi termasuk minyak masak, lelemak sayuran, ghee sayuran dan marjerin di bawah jenama SAJI, ADELA & SERI PELANGI serta produk keluaran segar di bawah jenama Ladang’57.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Nazrul Mansor berkata, sebagai sebuah syarikat makanan dan perniagaan agri terunggul di Malaysia, Kumpulan amat berbesar hati dapat menyertai Gulfood 2023 dalam skala yang lebih besar.
“Kami mengambil peluang ini untuk turut memperkenalkan marjerin ADELA dan mempamerkan produk makanan berkualiti tinggi yang lain di persada antarabangsa.
“Kami mahu memperkukuhkan hubungan dengan rakan kongsi dan pelanggan global baharu terutamanya di rantau MENA untuk membolehkan kami terus mempromosi dan memasarkan produk baharu kami di rantau itu,” katanya dalam kenyataan.
Ketua Bahagian Hiliran FGV, Zulkifli Othman pula berkata, MENA merupakan antara rantau terkuat FGV yang turut beroperasi di lebih 10 negara termasuk Asia, Asia Barat, Amerika Utara dan Eropah.
“Ketika ini, produk untuk pasaran eksport FGV dipek dan dijual kepada pedagang dan pembeli antarabangsa. Pertumbuhan pasaran marjerin di MENA dijangka lebih kukuh dengan percambahan peluang pemasaran di pasaraya besar, kedai serbaneka dan e-peruncitan.
“Pelancaran Marjerin ADELA ini sekali gus akan memperkukuhkan kedudukan produk FGV yang lain di rantau ini,” katanya. – UTUSAN









