FGV jangka bawa masuk 10,000 pekerja asing

FGV jangka bawa masuk 10,000 pekerja asing

NAZRUL Mansor (kiri) dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan FGV, Datuk Mohd. Hairul Abdul Hamid dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/SHAFIQAH SHUKOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: FGV Holdings Berhad (FGV) menjangka membawa masuk 10,000 pekerja asing sebelum akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Nazrul Mansor berkata, Kumpulan menjangka kemasukan sebanyak 5,000 pekerja asing pada suku kedua tahun ini bagi menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja di dalam syarikat.

“Kami lebih berhati-hati kali ini kerana kami mahu memastikan semua pekerja asing yang masuk tidak perlu membayar yuran pengambilan dan mahu melakukan proses temuduga yang berpatutan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini .

Mengulas lanjut, beliau berkata, seiring dengan dasar tiada yuran pengambilan FGV untuk penempatan pekerjaan, Kumpulan itu akan membayar balik kepada pekerja asing yang bekerja dan bekas pekerja selepas 27 Jun 2019 dan terpaksa membayar yuran pengambilan kepada ejen atau pihak ketiga yang lain di negara asal mereka.

“Bayaran kepada 23,333 pekerja asing kami sekarang berjumlah RM81.64 juta akan dibuat dalam tiga peringkat antara Mac dan September 2023.

“Selain itu, FGV telah mewujudkan dana terikat (sinking fund) berjumlah RM30 juta untuk membayar balik bekas pekerja yang membayar yuran pengambilan semasa bekerja dengan FGV tetapi tidak lagi bekerja dengan syarikat itu,” katanya.

Dalam pada itu, Nazrul menjangkakan harga MSM akan kekal pada purata RM4,000 setiap tan pada 2023 dengan pengeluaran BTS meningkat tahun ke tahun sebanyak 16 peratus kepada 4.6 juta tan.

“Kami mempunyai sasaran hasil sebanyak 17.2 tan sehektar dan pengeluaran MSM kami meningkat dua peratus berbanding 2021 pada 2.95 juta tan.

“Bahagian perladangan kumpulan akan terus menambah baik operasinya melalui mekanisasi, program penanaman semula dan melaksanakan inisiatif pengoptimuman kos,” katanya.

Mengenai larangan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (AS) ke atas produk minyak sawit FGV, Nazrul berkata, Kumpulan itu dijangka mengemukakan permohonan menjelang akhir suku pertama tahun ini.

Beliau berharap penggantungan Perintah Pelepasan Penahanan yang dikenakan terhadap Kumpulan itu dua tahun lalu, ditarik balik menjelang akhir tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN