DRB-Hicom catat untung pra cukai RM409.99 juta

DRB-Hicom catat untung pra cukai RM409.99 juta

DRB-HICOM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: DRB-Hicom Berhad ( DRB-Hicom) mencatat keuntungan pra cukai sebanyak RM409.99 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (TK2022).

DRB-Hicom dalam satu kenyataan berkata, kejayaan berkenaan memulihkan kerugian pra-cukai sebanyak RM291.27 juta yang dicatatkan Kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.

Katanya, bagaimanapun Kumpulan mencatat kerugian pra cukai sebanyak RM73.13 juta bagi tempoh tiga bulan sehingga 31 Disember 2022 (S42022) disebabkan oleh penilaian akhir tahun kerugian rosot nilai aset.

Menurutnya, tiga sektor menerajui pertumbuhan hasil sebanyak 25.3 peratus bagi TK2022 dengan sektor automotif mendahului melalui peningkatan hasil sebanyak RM2.89 bilion.

“Peningkatan permintaan kenderaan yang didorong pengecualian cukai jualan oleh kerajaan telah meningkatkan pendapatan Proton dan jenama lain di bawah payung DRB-Hicom, dan mengakibatkan pendapatan meningkat lebih daripada 35.2 peratus dalam sektor automotif.

“Selain daripada Proton dan syarikat- syarikat pengedar automotif, kesan positif peningkatan permintaan kenderaan turut melimpah kepada syarikat-syarikat pembuatan dan kejuruteraan Kumpulan, setelah volum keseluruhan industri negara mencapai rekod baharu sebanyak 720,658 unit bagi TK2022,” katanya.

Mengulas lanjut, DRB-Hicom berkata, sektor aeroangkasa dan pertahanan turut mencatat peningkatan hasil sebanyak RM254.46 juta atau 41 peratus dengan unit pertahanan Kumpulan mencatat jualan produk lebih tinggi.

Jelasnya, unit aeroangkasa juga mendapat manfaat daripada bermulanya kembali penerbangan komersial global berikutan larangan perjalanan yang dikuatkuasakan akibat pandemik Covid-19.

“Di sektor perbankan, peningkatan hasil bagi TK2022 adalah sebanyak RM152.36 juta atau penambahbaikan sebanyak 13.7 peratus berbanding tahun sebelumnya RM1.12 bilion.

“Sebahagiannya disebabkan oleh peningkatan pendapatan pembiayaan dan volum daripada hartanah serta pembiayaan peribadi kepada pelanggan,” katanya.

DRB-Hicom turut mengunjurkan prestasi kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 kekal positif. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN