PETALING JAYA: Cagamas Berhad (Cagamas) memuktamadkan gabungan nilai terbitan bersamaan RM1.20 bilion yang terdiri daripada Nota Jangka Sederhana Tetap (EMTN) satu tahun bernilai 230 juta dolar Singapura (SGD) dan EMTN satu tahun 800 juta dolar Hong Kong (HKD).
Perbadanan gadai janji nasional itu dalam kenyatannya berkata, hasil daripada terbitan akan digunakan untuk membiayai pembiayaan rumah daripada sistem kewangan domestik.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Chung Chee Leong berkata, pemantauan yang konsisten terhadap kelebihan perbandingan antara terbitan mata wang asing dan domestik, ditambah pula dengan penglibatan berterusan dengan pelabur antarabangsa membawa kepada kejayaan terbitan tersebut.
“Walaupun pasaran bon global terus berada di bawah tekanan akibat kebimbangan inflasi yang terus meningkat, kedua-dua terbitan dalam denominasi SGD dan HKD berada pada harga kompetitif dan dilanggan oleh pelbagai pelabur asing.
“Terbitan SGD juga mewakili terbitan SGD terbesar Cagamas dalam satu tranche, yang menjadikan jumlah dana yang diperoleh untuk tahun ini kepada RM2.02 bilion,” katanya di sini semalam.
Kedua-dua bon denominasi SGD dan HKD, yang diterbitkan melalui anak syarikat milik penuh Syarikat, Cagamas Global P.L.C. dijamin sepenuhnya dan tanpa syarat oleh Cagamas.
Terbitan itu bertaraf pari passu dengan semua obligasi tidak bercagar sedia ada syarikat yang lain. – UTUSAN










