
BERAPI-API! Itu pengalaman yang saya lalui ketika menunggang uji skuter elektrik jenama Blueshark di litar go-kart di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini. Kestabilan model R1 yang hanya seberat 92 kilogram ini di selekoh-selekoh pendek sangat menguja dan meyakinkan sehingga tidak sedar penegak kembar (double stand) sudah bergesel dengan permukaan trek, lantas mencetuskan percikan api.
Ditambah keistimewaannya boleh meniru bunyi seakan-akan jentera menggunakan bahan api, lupa seketika yang saya sedang tunggang itu adalah skuter elektrik. Berbeza dengan skuter elektrik jenama lain yang pernah saya tunggang uji sebelum ini, tiada langsung bunyi. Hanya hembusan angin menampar tubuh setiap kali pendikit dipulas. Bak kata orang, tiada feel. Tidak suka dengan bunyi sedemikian, kita boleh menunggang sambil mendengar lagu-lagu pilihan.
Terdapat lima mod tunggangan boleh dipilih. Kalau nak laju boleh pilih mod Turbo Racing.
Dengan kelajuan maksimum 80 kilometer sejam (km/j), sudah rasa cukup laju di atas litar. Namun, kalau di atas jalan raya apatah lagi lebuh raya, mungkin terasa sedikit kekurangan buat mereka yang berjiwa kelajuan. Bagaimanapun, itu bukanlah perkara utama perlu sangat diambil kira. Sebaliknya, ciri-ciri pintar dan sistem canggih pada skuter ini menjadikannya teramat istimewa serta unik.

Menggunakan aplikasi Blueshark App yang boleh dimuat turun ke telefon bimbit, segala maklumat tentang skuter ini boleh kita ketahui di hujung jari sama ada dari rumah atau tempat kerja. Contohnya, jika skuter ini dicuri, kita boleh melihat lokasinya yang terkini. Malah kita boleh mematikan sistem dan enjinnya dari telefon bimbit dan skuter ini akan tersadai, tidak mampu lagi bergerak.
Ketika menunggang, maklumat-maklumat diperlukan seperti jarak dan pandu arah perjalanan, tahap bateri dan sebagainya boleh dilihat menerusi paparan skrin definisi tinggi (HD) 10 inci.

Seperti juga kereta, skuter ini pun ada kamera pada bahagian depan dan belakang. Kamera ini dilengkapi dengan sensor supersonik. Selain penunggang boleh melihat apa yang ada di depan dan di belakang menerusi skrin, Advanced Driver-Assistance System (ADAS) membantu penunggang memastikan jarak kenderaan di depan dan di belakang berada dalam jarak selamat. Sistem ini juga boleh membantu penunggang semasa mengundur termasuk untuk tujuan parkir. Jadi, tidak perlu lagilah bersusah-payah nak toleh kepala ke belakang atau melihat cermin sisi. Tengok sahaja pada skrin.

Menggunakan bateri ion litium, jentera ini mampu bergerak sejauh kira-kira 100 km. Jangan risau jika tidak sempat untuk mengecas bateri di rumah. Hanya tunggang skuter ke lebih 30 stesen yang disediakan di sekitar Lembah Klang buat masa ini untuk tukarkan dengan bateri baharu. Proses pertukarannya pun sangat mudah dan pantas, kurang dari 15 saat.
Akan berada di pasaran tidak lama lagi, Jeff Chong, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ASEAN, Blueshark Ecosystem Sdn. Bhd. iaitu pengedar skuter ini menyasarkan jualan sebanyak 25,000 unit pada tahun ini. Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan harga jualannya tetapi memberi jaminan nilainya sangat berpatutan, iaitu sekitar empat angka.
Bagi mereka yang ingin melihat dari dekat atau mendapatkan maklumat lanjut tentang skuter Blueshark, bolehlah berkunjung ke pusat jualan, servis dan alat ganti (3S) yang terletak di Taman Perindustrian Hicom-Glenmarie, Shah Alam. – UTUSAN










