Belanjawan waktu sukar - Utusan Malaysia

Belanjawan waktu sukar

Anwar Ibrahim memasukkan dokumen Belanjawan 2023 ke dalam beg ketika meninjau persiapan pembentangan belanjawan bertema Malaysia Madani di Kementerian Kewangan di Putrajaya semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentang Belanjawan 2023 hari ini ketika negara berhadapan cabaran hutang dan liabiliti berjumlah RM1.5 trilion, kekangan pendapatan kewangan dan jangkaan kelembapan ekonomi dunia.

Belanjawan 2023 adalah yang kali pertama dibentangkan Kerajaan Perpaduan selepas menawan Putrajaya susulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November lalu yang me­nyaksikan tiada parti meraih majoriti mudah di Dewan Rakyat.

Perbelanjaan kerajaan untuk tahun ini telah dibentangkan kerajaan Perdana Menteri Ke-9 Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bernilai RM372.3 bilion pada November lalu tetapi tidak sempat diluluskan berikutan pembubaran Parlimen.

Anwar yang kali terakhir membentangkan belanjawan 25 tahun lalu, berhadapan cabaran merencana perbelanjaan Kerajaan Perpaduan ketika hutang negara mencapai 61 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kekangan pendapatan serta keperluan membantu golongan terkesan selepas pandemik Covid-19.

Beberapa isu pengurusan kewangan termasuk ketirisan yang membelenggu negara sejak sekian lama menyaksikan hutang negara melonjak kepada RM1.2 trilion selain RM300 bilion jaminan hutang yang perlu ditanggung Putrajaya.

Belanjawan 2023 juga berdapan cabaran peningkatan inflasi, kenaikan harga barang asas, keperluan subsidi kepada golongan memerlukan tetapi pendapatan dan sumber dana yang terhad.

Dalam bajet yang dibentang­kan November lalu, me­nyak­sikan kerajaan ketika itu memperuntukkan RM272.3 bilion sebagai perbelanjaan mengurus manakala RM95 bilion untuk pembangunan, tertinggi dalam sejarah negara.

SUBSIDI

Kerajaan Perpaduan dijangka menyediakan peruntukan hampir sama atau lebih tinggi berikutan penurunan beberapa kos pengurusan terutama subsidi petrol. Penurunan harga minyak global Brent yang pernah mencecah AS$129 pada Mac tahun lalu menyaksikan subsidi keseluruhan kerajaan mencecah hampir RM80 bilion.

Subsidi minyak yang dianggarkan mencecah RM37.3 bilion tahun lalu berkurangan selepas harga Brent kini berlegar sekitar AS$80 setong, sekali gus memberi ruang kewangan kepada Anwar dan Putrajaya.

Anwar yang juga Perdana Menteri minggu lalu di Dewan Rakyat menegaskan Kerajaan Perpaduan tidak akan memperkenalkan cukai tambahan termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan cukai kepenggunaan berasas luas lain bagi menangani isu hutang negara.

Belanjawan yang dibentang hari dijangka tidak akan menyaksikan pengenalan cukai yang akan memberi kesan kepada sebahagian besar rakyat terutama golongan B40 dan M40.

Pengenalan sebarang cukai kepenggunaan akan meningkatkan semula kos barangan dan inflasi yang sudah menunjukkan penurunan dalam suku terakhir 2022.

Beberapa kementerian juga dijangka diberikan tumpuan terutama pendidikan dan ke­sihatan. Sebelum ini Anwar telah mengarahkan Kementerian Pendidikan memberi tumpuan kepada sekolah daif tanpa mengira aliran.

KEMISKINAN

Golongan berpendapatan ren­dah dan golongan sasar terutama kemiskinan tegar dijangka mendapat perhatian tetapi tidak diketahui bentuk bantuan yang akan disalurkan sama ada bantuan terus tunai atau inisiatif lain.

Belanjawan 2023 akan te­rus mencatatkan defisit, tahun ke-26 belanjawan negara mencatatkan defisit tetapi masih mampu dibiayai berdasarkan unjuran pendapatan, pengurangan ketirisan dan peruntukan untuk inisiatif perlu.

Kerajaan Perpaduan sebelum ini telah menegaskan bahawa sekuriti makanan dan menarik pelaburan asing akan menjadi tumpuan utama dan dijangka menjadi antara agenda utama dalam Belanjawan 2023.

Komitmen Anwar yang menegaskan usaha menangani ketirisan terutama dalam mengurangkan kos sebenar projek, memansuhkan orang tengah, dan mendapatkan harga terbaik dijangka membantu mengurangkan tekanan kewangan kerajaan. Ia juga akan memberi ruang untuk lebih banyak perbelanjaan bernilai setara dengan wang yang diperuntukkan kerajaan.

Hutang negara tinggi, keka­ngan dana, punca pendapatan terhad, pemberian subsidi tinggi memberi cabaran kepada kerajaan membentangkan belanjawan 2023.

“Saya yakini (kewangan dan negara) boleh diselamatkan. Ia kritikal tetapi bukan hopeless (tiada harapan). Beri peluang kepada kerajaan membetulkan isu tata kelola dan tata urus. Ia paling utama dalam agenda kerajaan,” kata Anwar ketika perjumpaan dengan editor baru-baru ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×