Belanjawan 2023 fokus pemulihan mata pencarian – MOF

Belanjawan 2023 fokus pemulihan mata pencarian – MOF

Rakyat menanti inisiatif kerajaan untuk mengurangkan kenaikan kos hidup yang semakin meningkat dalam pembentangan Belanjawan 2023, Jumaat ini. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelbagai inisia­tif dan bantuan bakal dilaksanakan kerajaan menerusi pembentangan Belanjawan 2023 Jumaat ini.

Kementerian Kewangan da­lam ciapannya di Twitter berkata, perlindungan kehidupan dan pemulihan mata pencarian merupakan antara fokus utama dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut MOF inisiatif dan bantuan yang bakal dilaksanakan itu merupakan usaha kerajaan Perpaduan dalam memperkasakan golongan B40 serta mengurangkan kadar pengangguran di Malaysia.

“Ingin tahu lebih banyak inisiatif mengenai B40? Nantikan pembentangan Belanjawan 2023 dalam masa tiga hari lagi,” ciapnya, semalam.

Terdahulu Anwar berkata, rangka Belanjawan 2023 akan memberi fokus untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara menerusi keyakinan pelabur seterusnya berupaya memberi rahmah kepada rakyat secara menyeluruh.

Sementara itu, penganalisis ekonomi menjangka Belanjawan 2023 akan fokus terutamanya kepada subsidi bersasar dan peluang pekerjaan.

Pensyarah di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Anuar Shah Bali Mahomed berkata, kerajaan mungkin memberi tumpuan kepada inisiatif subsidi bersasar kepada golongan B40 dan sebahagian M40 yang terjejas.

“Kerajaan juga dijangka memberi tumpuan kepada meningkatkan peluang pekerjaan berikutan ekonomi yang berkembang sederhana. Per­belanjaan pembangunan harus ditingkatkan untuk merancakkan peluang pekerjaan.

“Persoalannya, sama ada kita ada kemampuan untuk meningkatkan perbelanjaan pembangunan?. Hutang negara termasuk liabiliti sudah mencecah hampir RM1.2 trilion. Jadi, kemam­puan negara memperuntukkan per­belanjaan itu amat penting untuk mengatasi masalah tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengenai jangkaan lain, beliau berkata, gaji atau pendapatan rakyat Malaysia yang tidak selari dengan kenaikan harga barang dan inflasi juga akan menjadi tumpuan kerajaan.

Selain itu, katanya, peningkatan peruntukan dalam sektor pertanian dan makanan juga dijangka akan berlaku kerana kerajaan perlu meningkatkan pengeluaran dalaman bagi mengekang kenaikan harga barang makanan di dalam negara.

Sementara itu, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul La­tiff menjangkakan belanjawan kali ini tidak semestinya yang terbesar tetapi lebih bertumpu kepada pengurangan defisit per­belanjaan.

Ini kerana katanya, semasa Anwar menjadi Menteri Kewa­ngan sebelum ini, beliau ter­kenal dengan perbelanjaan lebihan dan berhemah.

“Justeru, kemungkinan beliau akan cuba pergi ke arah itu, mungkin bukan untuk tahun ini tetapi tahun-tahun akan datang.

“Tetapi pada masa yang sama, kerajaan tetap meletakkan agenda rakyat sebagai ke­utamaan di bawah konsep Malaysia Madani.

“Saya menjangka sektor ekonomi yang akan diberi keutamaan adalah sektor ekonomi digital, agromakanan, aeroangkasa dan perkhidmatan,” katanya.

Belanjawan 2023 dibentang semula di Dewan Rakyat Jumaat ini susulan pertukaran kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN