KUALA LUMPUR: Axiata Group Bhd. mengunjurkan pertumbuhan pendapatan kecuali peranti, sebanyak satu digit sekitar lima peratus pada 2023, dipacu oleh pasaran sedia dan pertumbuhan yang kukuh dalam pasaran sempadan seperti Sri Lanka dan Bangladesh.
Pemangku Bersama Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Vivek Sood berkata, pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) pula dijangka tumbuh pada satu digit yang lebih tinggi.
Kata beliau, pihaknya mengunjurkan pertumbuhan satu digit kerana masih konservatif dengan persekitaran pasaran makroekonomi yang masih lagi kurang kondusif.
“Inflasi ketika ini masih tinggi dan kos sara hidup dalam kalangan rakyat juga kekal mencabar. Jadi, ini adalah sebab meletakkan sasaran yang lebih konservatif,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman keputusan kewangan Axiata Group bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 di Menara Axiata di sini hari ini.
Sementara itu, beliau turut mengumumkan peruntukan perbelanjaan modal (Capex) sebanyak RM7.1 bilion pada tahun ini.
“Capex ini akan diagihkan untuk beberapa perkara termasuk pengambilalihan, penyelenggaraaan, pelaburan dan fasiliti baharu dalam pasaran sedia ada serta perniagaan menara,” ujarnya.
Terdahulu, beliau mengumumkan lonjakan keuntungan bersih sebanyak RM9.77 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 berbanding RM818.90 juta bagi tempoh sama sebelumnya.
Katanya, prestasi yang lebih baik itu didorong oleh peningkatan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) dan keuntungan bersih sekali daripada penggabungan Celcom-Digi.
“Jumlah perolehan hasil turut meningkat kepada RM21.73 bilion berbanding RM19.99 bilion pada 2021.
“EBITDA Kumpulan pula meningkat sebanyak 7.8 peratus tahun ke tahun kepada RM9.60 bilion dengan pertumbuhan merentasi kesemua syarikat yang beroperasi, kecuali operasi mudah alih di Sri Lanka dan Nepal,” ujarnya.
Dalam pada itu, Axiata turut mencatat kecemerlangan kos dengan mencapai penjimatan perbelanjaan modal sebanyak RM1.07 bilion.
Kumpulan menutup tahun itu dengan lembaran imbangan yang kukuh apabila hutang kasar/EBITDA susut kepada 2.9 kali berbanding dua suku sebelumnya terutama dipengaruhi oleh hutang lebih tinggi bagi membiayai pengambilalihan menara Link Net dan ISOC Filipina, namun dinormalisasi oleh hasil daripada penggabungan dan pengambilalihan (M&A) yang telah selesai.
Baki tunai syarikat adalah kekal sihat pada RM7.5 bilion. – UTUSAN










