Axia serba baharu terima 20,100 tempahan

Axia serba baharu terima 20,100 tempahan

PENGERUSI Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin (tiga kiri) dan Zainal Abidin Ahmad (tiga kanan) pada majlis pelancaran Axia serba baharu di Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perodua Axia serba baharu yang dilancarkan semalam, setakat ini mempu­nyai tempahan berjumlah 20,100 unit.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, ia termasuk 6,500 tempahan baharu (sejak 31 Januari 2023) dan 13,600 lagi pelanggan sedia ada yang bersetuju menukar tempahan Axia versi terdahulu kepada versi baharu.

Beliau berkata, seramai 2,900 pelanggan pertama Axia serba baharu dijangka menerima ke­reta mereka dalam masa terdekat.

“Dengan pelancaran Perodua Axia serba baharu, fokus kami (untuk model baharu ini) terbahagi kepada dua iaitu memaksimumkan penghantaran kepada para pelanggan kami dan menukar tempahan Axia generasi sebelumnya kepada Axia serba baharu,” katanya dalam kenya­taan sempena pelancaran model baharu itu, semalam.

Zainal Abidin berkata, pi­haknya menyasarkan jualan bulanan sebanyak 5,700 model berkenaan, menjadikan sasaran pengeluaran tahunan Axia serba baharu melebihi 82,000 unit.

“Sasaran 314,000 pendafta­ran dan 330,000 pengeluaran kami untuk tahun ini (2023) menggambarkan komitmen kami untuk memastikan tempahan anda dapat dihantar dalam masa yang terbaik tanpa menjejaskan kualiti,” katanya.

Perodua Axia serba baharu D-CVT (Dwi-Mod CVT) 1.0 liter didatangkan dalam empat vari­an G, X, SE dan AV. Dengan powertrain (enjin dan transmisi) ini, penggunaan bahan api berpotensi mencecah sehingga 27.4 km/l dengan sistem Eco Idle atau Start/Stop automatik.

Prestasi itu berdasarkan Kitaran Pemanduan Malaysia (MDC), yang mengikut keadaan jalan raya tempatan dan corak pemanduan.

Berharga antara RM38,600 untuk varian peringkat kema­sukan G dan RM49,500 untuk varian teratas AV. Axia model baharu menawarkan pelbagai pilihan untuk rakyat Malaysia. Ia didatangkan dalam lima warna – Granite Grey, Lava Red, Glittering Silver, Ivory White (solid) dan Coral Blue (Baharu).

“Ciri-ciri nilai tambah (jika dibandingkan dengan model Axia generasi sebelumnya) adalah berbeza kerana model serba baharu ini diperhalusi dalam semua aspek keselesaan, ruang, keselamatan, saiz dan estetika,” kata Zainal Abidin.

Dari segi keselamatan, Axia serba baharu mendapat penarafan empat bintang daripada Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN