PETALING JAYA: Agrobank kekal komited membantu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memastikan pembangunan serta kelestarian ekosistem agromakanan negara kekal stabil.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, Malaysia kini berada pada kedudukan 41 daripada 113 buah negara dengan mata 69.9 peratus dalam Indeks Sekuriti Makanan Global (Global Food Security Index (GFSI)) 2022.
Ujarnya, bagi aspek keselamatan makanan, dasar sekuriti makanan ini dinilai menerusi empat dimensi iaitu kesediaan, kebolehcapaian, penggunaan dan kestabilan bekalan makanan merentasi rantaian nilai makanan.
“Menerusi angka ini, Malaysia kini berada pada tahap sederhana dan pelbagai inisiatif perlu dilaksanakan bagi memperkukuhkan lagi sekuriti makanan di Malaysia.
“Justeru, Agrobank bersedia untuk mejalinkan kerjasama strategik yang pelbagai bagi memastikan ekosistem agromakanan negara kekal terjamin.
“Usaha ini perlu dilakukan bersama merentasi pelbagai agensi serta syarikat korporat. Ini bagi memastikan simbiosis seumpama ini dapat membantu negara memastikan bekalan makanan di Malaysia mencukupi serta pada masa yang sama meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) negara,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, pembiayaan holistik yang ditawarkan Agrobank bagi merealisasikan hasrat murni itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Bank untuk meningkatkan kestabilan dan kelestarian jaminan bekalan makanan negara.
Katanya, dalam keadaan di mana terdapat negara-negara di dunia ini masih dihimpit dengan ketidakstabilan bekalan rantaian makanan, Agrobank terus komited dalam memainkan peranannya untuk membantu negara bagi memastikan bekalan makanan di Malaysia mencukupi sejajar dengan hasrat Malaysia Madani.
Tambah beliau, pelbagai pakej pembiayaan yang ditawarkan Agrobank bagi memastikan pembangunan sektor agromakanan kekal mampan.
Pada 2022, Agrobank telah meluluskan sebanyak RM2.16 bilion pembiayaan yang memanfaatkan lebih 12,000 agropreneur khususnya usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang merentasi pelbagai rantaian nilai pertanian huluan dan hiliran khusus untuk membangunkan sektor pertanian dan agromakanan negara.
Menurut beliau, selain daripada itu, Agrobank kekal komited dalam menarik minat generasi muda untuk mempelopori bidang pertanian dan industri makanan di Malaysia.
“Ini dilaksanakan menerusi pelbagai program bimbingan perniagaan serta pelbagai program-program pembiayaan khusus di bawah Agrobank bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia khususnya golongan belia tampil menceburi bidang pertaniaan.
“Malaysia memerlukan lebih ramai belia untuk menjadi pelapis kepada sektor ini bagi memastikan jaminan bekalan makanan negara di masa hadapan kekal stabil dan terus terjamin.
“Ini dilihat mampu mengurangkan kadar kebergantungan bekalan makanan import di samping dapat meningkatkan taraf sosial ekonomi mereka.
“Justeru sinergi ini perlu dipertingkatkan dan dilaksanakan dengan lebih agresif lagi bagi memastikan kemampanan sektor agromakanan,” katanya. – UTUSAN










