PETALING JAYA: AEON BiG (M) Sdn. Bhd (AEON BiG) melancarkan Program Rahmah yang merangkumi Jualan Rahmah, Bakul Rahmah, Menu Rahmah dan Pakej Rahmah untuk terus membantu masyarakat mengharungi kos sara
hidup yang tinggi, seiring merancakkan lagi sektor ekonomi negara.
Program itu dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub di AEON BiG Wangsa Maju.
Dalam Jualan Rahmah, AEON BiG menawarkan 100 produk terpilih yang dijual pada harga lebih rendah untuk meringankan beban pelanggan.
Antara barangan terpilih yang dijual melalui Jualan Rahmah ini termasuk beras, minyak masak, makanan proses, peralatan mandian dan banyak lagi keperluan asas lain.
“Selain itu, AEON BiG juga memperkenalkan pelbagai set Menu Rahmah berserta air mineral yang berharga RM4.95 sahaja. Menu ini terdiri daripada Menu Rahmah Ayam, Menu Rahmah Sotong, Menu Rahmah Ayam Hitam, Menu Rahmah Ayam Lemak, Menu Rahmah Ayam Merah, Menu Rahmah Ikan dan Menu Rahmah Ikan Lemak.
“Manakala bagi Pakej Rahmah, AEON BiG menyediakan pakej barangan keperluan harian bernilai RM50 yang akan dijual di seluruh cawangan AEON BiG,” katanya dalam kenyataan.

AEON BiG juga menyumbang Bakul Rahmah kepada 180 keluarga daripada kumpulan B40 dan miskin tegar di 6 negeri terpilih iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan, Johor, Penang, Perak dan Pahang pada hari perasmian.
Menurut Pengarah Urusan AEON BiG, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed, syarikat sentiasa menyokong hasrat kerajaan di dalam misi membantu golongan yang memerlukan dan menyambut baik insiatif Payung Rahmah tersebut.
“Kami bersyukur kerana melalui program ini, AEON BiG dapat melaksanakan hasrat Kerajaan sekaligus membantu golongan B40 dan miskin tegar dalam meneruskan kehidupan harian.
“Walau dalam apa juapun situasi, kami sentiasa bersedia untuk bergerak bersama bagi memastikan kelangsungan hidup dan keadaan ekonomi dan sosial sentiasa seimbang.
“Golongan B40 dan miskin tegar ini juga merupakan sebahagian dari ekosistem kami dan menjadi tanggungjawab AEON BiG untuk sentiasa berada dekat di hati mereka,” kata beliau. – UTUSAN









