Yamaha EZ115 – kapcai tahan lasak?

Yamaha EZ115 – kapcai tahan lasak?

MAJLIS pelancaran Yamaha EZ115 di Genting Highlands. – UTUSAN/ANUAR NORICK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA kebanyakan pengeluar motosikal ghairah untuk menghasilkan motosikal-motosikal dengan teknologi terkini dan canggih, ada sekelompok golo­ngan pengguna motosikal yang sebenarnya tidak memerlukan teknologi canggih tersebut.

Tidak memerlukan sistem meter jenis TFT untuk membolehkan penggunanya berhubung terus dengan peranti mereka. Tidak memerlukan sistem suspensi pelbagai tahap laras. Juga tidak memerlukan sistem pembakaran bahan api yang canggih, yang unik serta yang terkini, dalam teknologi kejuruteraan enjin.

Bagi golongan ini, apa yang penting ialah prestasi penunggangannya dari point A ke point B, disempurnakan dengan mudah, lancar dan kos efektif. Dalam bahasa Inggeris, mereka memerlukan sebuah jentera work-horse, tahan lasak untuk ditunggang harian, kos servis dan kos alat ganti enjin adalah pada paras minimal.

HONG LEONG YAMAHA tidak melupakan golongan ini, maka pada 15 Januari lalu, Yamaha Malaysia memperkenal model EZ115 kepada media dan para pengedar sah mereka di Genting Highlands.

PENAMPILAN

Tidak dapat dinafikan, Yamaha EZ115 adalah model pengganti YAMAHA LEGENDA 115. Berbekalkan sistem suntikan bahan api dan berkelulusan tahap EU4, EZ115 dipertaruhkan sebagai kapcai tahan lasak untuk kegunaan setiap tahap masyarakat.

Berbanding model Legen­da 115, jentera EZ115 ini dijanjikan mempunyai lebih kuasa tujahan, jimat minyak dan kerangka yang lebih ringan untuk imbangan ke­gunaan yang memuaskan ketika penunggangan. Yamaha juga mendakwa saiz lampu utamanya lebih besar un­tuk suluhan yang lebih mantap di waktu malam, serta mempunyai lampu penanda ECO bagi membolehkan pengguna mengawal sendiri tunggangan di tahap mode penjimatan penggunaan bahan api.

Mencontohi spesifikasi yang disukai ramai pada motor-motor skuter di pasaran, EZ115 juga dilengkapi ruang penyimpan barangan di bawah pelana yang mudah diakses melalui satu putaran kunci utama.

ENJIN

Yamaha EZ115 menggunakan enjin satu selinder, 4 lejang, SOHC dan 2 injap serta bersesaran 114cm. Jentera ini mampu menghasilkan kuasa maksimum sebanyak 6.4kW (8.7 PS) pada kadar RPM7,000 dan mempunyai kuasa tork maksimum sebanyak 9.5Nm pada kadar RPM5,500.

Seiringan dengan nama komersilnya EZ (Easy-Mudah), jentera ini boleh dihidupkan dengan penghidup letrik atau konvensional, iaitu dengan tuas penendang. Maka kegusaran tentang kehabisan kuasa bateri setelah beberapa tempoh penggunaannya, akan hilang sama sekali dengan kewujudan penghidup tendang ini. Sekali lagi kita diingatkan bahawa Yamaha EZ115 dipasarkan untuk golo­ngan yang mementingkan kos penyelenggaraan dan konsep mudah selia, lebih utama daripada teknologi terkini.

Seperkara yang menarik tentang EZ115 ialah sistem transmisinya (gearing) adalah jenis rotary, iaitu membolehkan penunggang menekan tuas gear hanya ke hadapan untuk menggerakkan gear dari gear 1 hingga ke 4, dan terus menekan ke hadapan untuk kembali ke neutral. Sistem ini agak popular ketika dahulu dan mengurangkan satu proses pertukaran gear iaitu tidak perlu menarik tuas klac untuk pertukaran gear.

Sistem jenis old school ini mempunyai kebaikan dan kekurangannya sendiri, tetapi penggunaan sistem ini adalah lebih kepada pengurangan kos pembuatan.

PANEL meter `old school’.

ASPEK KESELAMATAN

Bagi yang mempunyai penglihatan tajam, ada yang menyedari bahawa Yamaha EZ115 cuma dilengkapi dengan brek cakera hadapan. Brek belakang masih menggunakan sistem ‘mangkuk’ atau pun drum brakes. Faktor ini pada awalnya dirasakan agak mundur dan “melangkah semula ke belakang” ketika pengeluar-pengeluar lain rancak menggunakan sistem brek cakera depan dan belakang untuk motosikal-motosikal baharu keluaran mereka.

Namun apabila dikaji lebih mendalam, EZ115 tidak didatangkan dengan sistem ABS pada sistem breknya. Oleh itu, penggunaan brek jenis mangkuk ini sebenarnya lebih efisien, dan mampu mengajar para penunggang/pemiliknya untuk menggunakan sistem brek dengan lebih efisien pada mana-mana tahap dan keadaan penunggangan, sekali gus mengurangkan faktor roda ‘terkunci’ atau ‘tergelincir’ ketika penggunaan ekstrim terhadap sistem brek anda.

Yamaha Malaysia bertekad untuk menambah keyakinan orang ramai mengenai ketahanan dan kebolehan jentera Yamaha EZ115 dengan menganjurkan perlumbaan “one-make-race” iaitu perlumbaan khas untuk jenama dan model ini sahaja, dalam KEJOHANAN MALAYSIAN CUBPRIX 2023 nanti.

Pengarah Urusan Kumpulan Hong Leong Industries Berhad, Datuk Dr. Jim Khor menegaskan:  “Kami akan membuktikan kebolehan dan ketahanan jentera ini untuk dipertontonkan kepada orang ramai dengan mewujudkan satu perlumbaan satu pembuatan atau One Make Race dalam CubPrix musim 2023 yang akan berlangsung dalam masa sebulan lebih ini.

“Orang ramai boleh lihat sendiri betapa Yamaha EZ115 amat pantas, pengendalian yang hebat serta mempunyai gaya penampilan yang mampu menarik minat para pencinta motosikal sekelian.”

Yamaha EZ115 didatangkan dengan tiga warna iaitu Merah, Biru dan ‘Cyan’ dan boleh didapati di mana-mana ejen Yamaha Malaysia yang sah dengan harga jualan RM5,598.00 (tidak termasuk pendaftaran, insurans dan cukai jalan) bermula 16 Januari 2023.

Seperti biasa, Yamaha Malaysia akan membekalkan kunci keselamatan cakera sebagai hadiah kepada pembeli baharu.

RUANG menyimpan barangan di bawah pelana seperti skuter.

KESIMPULAN

Tidak mudah untuk memuaskan hati semua pihak. Apabila didatangkan dengan teknologi terkini, sistem kejuruteraan, elektronik atau kualiti barangan tahap tinggi, sudah tentu ia akan meningkatkan kos jualan dan seperti senario masakini, harga sebuah motosikal ‘kapcai’ kini melebihi angka RM10,000 dan kos penyelenggaraannya juga tidak kurang hebat sehingga mencecah 4 angka jika tidak berhati-hati.

Bagaimanapun, inilah kos teknologi yang diinginkan oleh kebanyakan pencinta dua roda. Begitu pun, untuk golongan yang hanya memerlukan sebuah motosikal yang tahan lasak, pengendalian yang mudah serta paling penting, harga jualannya tidak keterlaluan, YAMAHA EZ115 sudah boleh didapati di pasaran.

Maka, seperti tagline pemasaran model ini: “It’s so EZ lah!” – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN