PETALING JAYA: Pengasas dan pemegang saham utama Berjaya Corp Berhad (BCorp), Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun telah mengurangkan pegangannya dalam Kumpulan itu kepada 19.061 peratus.
Vincent Tan telah menjual dua blok saham dalam urus niaga perniagaan langsung pada Rabu lalu.
Menurut pemfailan BCorp, Vincent Tan menjual 110.08 juta saham melalui Hotel Enterprise Sdn. Bhd. dan 15.92 juta saham lagi melalui B & B Enterprise Sdn. Bhd..
“Berikutan urus niaga itu, pegangan langsung beliau dalam BCorp kini berjumlah 7.814 peratus, manakala pegangan tidak langsung ialah 11.247 peratus.
“BCorp kini dalam perbincangan untuk mengambil alih 51 peratus kepentingan dalam syarikat insurans hayat MCIS Life Sdn. Bhd.,” katanya.
Bagi memudahkan pengambilalihan itu, Vincent Tan, selaku pengerusi, bercadang untuk mengurangkan pegangannya dalam BCorp kepada 19.6 peratus daripada 26 peratus.
Kumpulan itu kini dalam perniagaan insurans melalui 30 peratus pegangannya dalam Berjaya Sompo Insurance Bhd..
Sompo Holdings (Asia) Pte Ltd memiliki baki 70 peratus pegangan. Syarikat itu juga memiliki sepenuhnya firma pembrokeran saham, Inter-Pacific Securities Sdn. Bhd..
Pada Januari sahaja, beliau telah menjual 417.3 juta saham BCorp.
Dalam pengumuman berasingan daripada BCorp, Lim Kuang Wang memperoleh 80 juta saham BCorp melalui urus niaga perniagaan langsung.
Ia meningkatkan pegangannya kepada 6.627 peratus daripada 5.194 peratus pada 23 Disember. Kuang Wang ialah bekas pengarah eksekutif Kossan Rubber Industries Bhd.
Saham BCorp didagangkan naik setengah sen atau 1.47 peratus kepada 34.5 sen, diterjemahkan kepada permodalan pasaran RM2.03 bilion.
Sepanjang tahun lalu, sahamnya telah meningkat 44 peratus. – UTUSAN










