TADC urus tujuh projek agro makanan bernilai RM30.44 juta

TADC urus tujuh projek agro makanan bernilai RM30.44 juta

PROJEK Hatcheri Ikan Marin merupakan antara yang diuruskan TADC di Setiu, Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC), anak syarikat kerajaan negeri diberi kepercayaan untuk menguruskan tujuh projek agro makanan bernilai RM30.44 juta daripada geran dana Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) Kementerian Kewangan (MoF).

Pengurus Besar TADC, Azhar @ Wahab Jusoh berkata, kesemua tujuh projek itu kini sedang berjalan mengikut jadual yang telah dirancang.

Menurutnya, projek yang mendapat geran dana tertinggi daripada Laksana MoF ialah Pusat Pengeluaran Benih Kerapu Hibrid Limau Nipis di Setiu yang bernilai RM8.865 juta, diikuti penternakan lembu semi fidlot di Kampung Pak Kancil, Setiu sebanyak RM7.085 juta.

“Projek Hatcheri Ikan Marin adalah antara projek Laksana yang berimpak tinggi di bawah program Inisiatif Dana Jaminan Keselamatan Makanan, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin).

“Ia mula beroperasi pada 21 Januari 2021 untuk meningkatkan pengeluaran hasil ternakan ikan kerapu hibrid, siakap dan tilapia.

“Bagi projek ternakan lembu fidlot itu pula, TADC juga mahu memperluaskannya sebagai pusat tarikan pelancongan ter­kenal di Terengganu dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.

Tambahnya, tiga projek yang lain ialah projek penggandaan kambing tenusu baka Saanen iaitu sebanyak RM1.6 juta, kilang baja kompos di Cheneh, Kemaman bersama Ladang Rakyat Terengganu (RM5.645 juta) dan pusat pengumpulan hasil tani (RM1.445 juta).

Selain itu, dua projek yang turut mendapat geran dana Laksana MoF ialah pusat semaian anak-anak pokok iaitu sebanyak RM3.9 juta dan projek pemba­ngunan tanaman Napier seluas kira-kira 160 hektar di Merang, Setiu (RM1.8 juta).

Azhar berkata, pusat semaian itu kini beroperasi di tiga daerah iaitu Pak Kancil (Setiu), Beris Meraga (Kemaman) dan Bukit Parit (Marang).

Beliau berkata, ia memfokuskan kepada pengeluaran benih anak pokok sembilan jenis tanaman iaitu durian, mangga, rambutan, nangka, cempedak, ciku, duku, jambu batu dan durian belanda yang didaftarkan di bawah Skim Pengesahan Bahan Tanaman (SPBT) serta beberapa tanaman berkualiti tinggi seperti durian Musang King dan Duri Hitam.

“Pada tahun ini juga, TADC telah menandatangani kontrak melalui projek tanaman rumput Napier untuk membekalkan kompos kepada syarikat McCormick Global Ingredients Sdn. Bhd. bagi proses pemulihan ta­nah projek penanaman lada hitam.

“Kontrak yang dipersetujui adalah selama 10 tahun dan sepanjang 2023, TADC akan membekalkan sebanyak 4,000 tan metrik kepada McCormick dan jumlahnya akan meningkat kepada 11,000 tan metrik pada 2024 sehingga 2031,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN