PROTUNe di bawah PKNS catat pendapatan RM2.54 juta

PROTUNe di bawah PKNS catat pendapatan RM2.54 juta tahun lalu

Para pelajar serta guru pembimbing Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Gading menerima hadiah Johan Anugerah Syarikat Terbaik 2022 daripada Rodziah Ismail (tengah).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Usahawan muda Program Tunas Niaga (PROTUNe), di bawah  Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), berjaya mencatatkan pendapatan keseluruhan sebanyak RM2.54 juta tahun lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Korporat dan Keusahawanan) PKNS, Suhaimi Kasdon berkata, ia sekali gus membolehkan kesemua usahawan dari 50 sekolah terpilih di Selangor mencatatkan rekod keuntungan bersih sebanyak RM745,067.

Suhaimi turut menzahirkan rasa bangga beliau ekoran terdapat peningkatan pendapatan sebanyak 93.5 peratus pada 2022 dengan nilai lebih RM165,479 berbanding tahun sebelumnya.

“Manakala keuntungan juga mencatatkan kenaikan lebih 90 peratus jika dibandingkan sebelumnya iaitu sejumlah RM56,094,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Suhaimi menyifatkan PROTUNe sebagai program keusahawanan yang berjaya ekoran menerima penyertaan menggalakan sejak mula diperkenalkan pada 1998.

Katanya, seramai 28,075 peserta dalam kalangan pelajar sekolah, membabitkan 1,125 syarikat yang berdaftar berstatus Sendirian Berhad telah menyertai PROTUNe sehingga kini.

“Pada tahun ini sahaja, penyertaan diterima seramai 1,250 peserta terdiri daripada pelajar tingkatan satu hingga lima, dengan bimbingan 100 guru dari 50 sekolah terpilih di Selangor.

“Tahniah diucapkan kepada semua syarikat yang terlibat dan pemenang Konvensyen PROUTUNe Negeri Selangor 2022, manfaatkanlah sebaiknya segala apa yang telah dipelajari,”  katanya.

Sementara itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Gading, Gombak mengungguli PROTUNe 2022 kali ini apabila dinobatkan sebagai Syarikat Terbaik 2022.

Sekolah berkenaan turut meraih Anugerah Laporan Kewangan Terbaik 2022, Anugerah Ketua Pegawai Eksekutif Terbaik 2022, Anugerah Guru Pembimbing Terbaik 2022, Anugerah Persembahan Terbaik 2022 dan Anugerah Sekolah Terbaik 2022.

Anugerah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor, Rodziah Ismail. Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Korporat dan Keusahawanan) PKNS, Suhaimi Kasdon; Penolong Pengarah, Unit Pembangunan Bakat Murid, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Khairul Anuar Abdul Azid dan Pengurus Besar Kanan Keusahawanan, Azilah Arshad. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN